Come on form five, you can do it, more than, more than, you can do it, weella weella wella wella wello, we are the best, the very very best, come on let's do it, tingkatan lima, 2010, woo... ALLAHUAKBAR!! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Takbir! ALLAHUAKBAR!

Wednesday, January 4, 2012

CERPEN: Bergantung pada Yang Satu



Surah al-Maidah dibaca penuh tartil tanpa melihat Al-Quran walaupun Al-Quran berada dalam genggamannya. Mengulang. Salah satu tugasan yang perlu dibereskan sebelum memperdengarkan bacaannya kepada guru hafazan esok.  Tiba-tiba, pintu dikuak laju. Terasa angin luar masuk menyusup ke mukanya. Terhenti bacaannya. Pandangannya tertumpu pada pintu yang terbuka luas.

“ Eh Umar, kau tahu tak budak asrama lain semua dah beli tiket bas! “ tercungap-cungap sahabatnya di muka pintu Dorm Yusuf Qardhowi.

“ Hah? Bila masa diorang pergi? “, 
 

“ Minggu lepas.”

“ Patutlah aku pelik kenapa senarai nama yang nak beli tiket tak sampai kat aku. “
 

“ Minggu lepas, warden kita, Ustazah Zuraidah minta senarai nama bagi sesiapa yang nak balik kampung minggu ni. Tapi masa tu kan kita pergi rumah ustaz Adi. Gara-gara nak siapkan banner majlis Aidil Adha jumaat ni. “
 

“Hok aloh...memang patut pun kita terlepas. Malam nilah kita keluar beli tiket.”
 

“Ok, aku maklumkan pada ustazah Zuraidah a.k.a Mama Ida kesayangan kita! Hahah. “ Amir Faheem berseloroh. Pintu ditutup rapat.

“Ceit! Nak juga panggil ‘mama’ tu.” Umar Asyraaf bermonolog sendirian. Tersengih dengan gelagat sahabatnya. Dia akui sahabatnya itu seorang yang riang dan pandai mengambil hati guru.   

Al-Quran dizip penuh cermat. Disandarkan dirinya pada sofa yang terletak di ruang tamu dormnya. Matanya dipejam mendapatkan ketenangan. Terbayang wajah ahli keluarganya. Tersenyum dia sendirian. Hampir setahun tidak pulang ke rumah. Kali ini pulangnya ke rumah, dia bertekad untuk menjadi Umar Asyraaf yang baru. Bukan lagi seperti dulu. Nafasnya dihela perlahan.

***
               Larkin, Johor. Tempat kebiasaan pelajar Ma’ahad Johor membeli tiket. Kali ini, mereka pergi berdua ditemani Ustaz Adi. Sebelum ini AJK Pengangkutan yang melaksanakan tugas ini.

“ Ish, ada lagi ke tiket? Aku takut dah habis. Nanti payah kalau tak balik rumah. Dah setahun tak balik rumah kot!. “

Amir Faheem menyatakan kerisauannya sambil memerhatikan deretan-deretan kedai yang menjual tiket bas. Mereka berjalan seiringan. Ustaz Adi menanti di dalam kereta.

           Umar Asyraaf hanya membisu. Dia membenarkan kata-kata sahabatnya. Pada masa yang sama, dia sangat mengharapkan satu peluang. Setiap detik, hatinya sering berkata-kata. Seolah bicaranya hanya dengan Allah. Bersungguh dia memohon dipermudahkan urusannya. Bukan mudah mendapatkan tiket tiga hari sebelum cuti perayaan. Kalau dapat pun harganya pasti melambung. Lagi pula rumah mereka terletak di Perlis. Sudah tentu lebih mahal.

            Setelah selesai, mereka berehat di bangku yang disediakan. Alhamdulillah akhirnya dapat dua tiket bas. Itupun tinggal dua yang terakhir. Harganya agak mahal dari yang mereka jangka. Amir Faheem hanya diam. Sesekali dia menjeling ke dalam dompetnya. Kosong. Duitnya habis hanya untuk  tiket itu semata.

“ Amir, kau lapar tak?” Amir hanya tersenyum apabila dilontarkan soalan tersebut.

“Huh? Em, tak pelah. Aku cuma penat.”
 

“Ala, jomlah! Bukan ke kau tak makan lagi dari tengah hari tadi? Aku tahu kau lapar kan? Tak apa, hari ini, aku belanja”

"Alaa...Umar. Tak payah la.."




"Apa ni? Kita kan sahabat?" Umar memaut bahunya. Tersenyum tenang.

Umar Asyraaf memang terkenal dengan sifat pemurahnya. Tidak pelik jika dia sentiasa dikelilingi senior dan juniornya.

***

“ Amir, cepat! Kita dah lambat ni!” Umar Asyraaf berteriak dari luar dorm.
 

“Ok, lagi sikit nak ‘packing’ barang ni!” Amir Faheem memberi isyarat. 

Sesampai di Larkin, Amir Faheem melihat jam tangannya. Riak wajahnya terkejut.

“Umar cari nombor bas jom! Sekarang dah pukul 5.15 petang. Lagi 15 minit bas nak gerak.”
 

“Tapi aku tak solat Asar lagi!”
 

“Aku pun. Ala, solat dalam bas je.”

“Tak boleh, selagi ada masa,  kita solat kat surau dululah. Insya-Allah, cukup masa 15 minit tu.”

“Tapi…bas…” dahinya berkerut. Kerisauan jelas di wajahnya. Sesekali matanya melirik ke arah deretan bas dan ke arah Umar.
 

“Amir, solat dulu ya…”  Umar memotong kata-katanya .Bahunya disentuh lembut.  Tiada langsung tanda-tanda emosi. Amir Faheem hanya tunduk. Akur dengan tindakan sahabatnya.

         Dengan segera mereka pergi ke surau. Jauh di sudut hati Umar, memang wujud rasa bimbang, Dikala saat sebegini siapa yang tidak bimbang. Hanya satu sahaja cara mengatasi rasa gundahnya. Dia harus tenang dalam segala hal. Serahkan segalanya pada Allah.

“ Wahai orang-orang yang beriman! Penuhilah seruan Allah dan Rasul, apabila dia menyerumu kepada sesuatu yang memberi kehidupan kepadamu, dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan”   [Al-Anfal:24]

Dengan pantas Amir Faheem membuka pili air untuk mengambil wudhu’. Tindakannya tergesa-gesa. Hatinya masih resah. Memikirkan kesempatan masa yang ada. Sempatkah aku kejar bas ni? Sedaya upaya di mengkhusukkan diri dalam ibadahnya tapi dia tewas lantaran fikirannya bercelaru. Setiap rukun solatnya umpama perkiraan 15 saat lamanya. Laju tahap giga. Mulutnya laju terkumat-kamit. Entah bacaannya tartil atau tidak. Entah bagaimana pula penilaian Yang Esa di akhirat kelak.

Umar Asyraaf menunaikan solat asar dengan penuh khusyuk. Setiap gerak-gerinya dirasakan seolah Allah benar-benar ada dihadapannya. Seratus peratus penuh penyerahannya kepada Ilahi. Redha dengan apa yang berlaku selepas ini.  Saat itulah dirasakan kebergantungan pada Allah yang sebenar-benarnya. Selesai memberi salam, masih lagi menyempatkan diri berzikir dan berdoa. Hanya sekadarnya.

Amir Faheem menanti di luar pintu solat. Siap berkasut lagi. Pandangannya tertumpu pada sahabatnya itu.  Khusyuk dalam setiap rukun solatnya. Sempurna. “Umar, aku peliklah dengan kau. Rilek je. Dalam keadaan genting macam ini pun kau masih sempat berdoa?”, hatinya berbisik.

***

“Umar! Cepat weh!! Lagi satu minit 30 saat bas nak gerak! ”

“Ya..Ya… sabar! Aku tengah ikat tali kasut ni!” Umar bergerak pantas.

“Satu minit, 20 saat!” Amir Faheem memerhatikan jam tangannya sambil berlari setempat.

“Ish, agak-agak la. Tak payahlah buat countdown!”

“Haha, saja aku nak hilangkan ketenangan kau. Suka tengok muka kau cuak. Sweet…”
Pandangan Umar tajam ke arah Amir Faheem. Senyuman sinis menggaris pada raut wajahnya. Amir Faheem bersedia membuka langkah. Dia dapat mengagak tindak balas sahabatnya.
 

“Amir! Kau ni kan…!” Bingkas Umar bangun dan mengejarnya.
 

“Hahaha! Aku dah agak kau akan kejar aku. Okeylah, kita buat marathon. Kejar bas sama-sama, jimat sikit masa! Haha, pandai juga aku memanipulasikan kau ek?” seloroh Amir mengenakan Umar yang mengejarnya dari belakang.
 

“Kurang asam punya kawan, habis tali kasut aku terbuka!” 

Umar melihat tali kasutnya yang terlerai dari ikatannya. Sekuat hati dia berlari mendapatkan Amir. Tiba-tiba perasaan bahagia mulai terbit. Berlari berkejaran dengan rakannya benar-benar mengimbau nostalgia di zaman sekolah rendah. Tak puas hati. Kejar. Akhirnya bergaduh. Tapi kini sudah berbeza.

“Siapa sampai dulu, dia menang!” Sempat Amir mengenakan syarat.
 

“Tak ada masalah, kawan!” lagak Umar sambil mengenyitkan mata kirinya. 

Berat beg di belakang langsung tak dihiraukan. Fokus mereka, sampai ke tempat tujuan. Sesekali Umar mendahului Amir. Begitu juga sebaliknya. Mana tidaknya, mereka berdua merupakan atlet sukan di sekolah. Akhirnya, kaki Amir mendahului jejak di atas tangga bas Transnasional, Mereka berdua tercungap-cungap. Tangan Amir berpaut pada besi pintu bas. Umar pula membongkokkan diri di belakang Amir. Mereka berpandangan sesama sendiri. Ketawa kecil dengan ragam masing-masing. Walaupun penat, tapi lega. Bas masih belum bertgerak.  

“Alhamdulillah, bas tak gerak lagi” Amir memulakan bicara sambil meletakkan begnya di ruangan atas.

“Alhamdulillah kewajipan didahulukan, hati pun tenang kan?” Umar tersenyum. Pandangannya dilontarkan ke luar tingkap.

Amir Faheem terdiam seketika. Teringat akan kelakuan sahabatnya ketika solat tadi. Dalam tempoh 15 minit memang cukup sebenarnya. Segera dicapai Al-Quran dari dalam beg. Mencari tanda berhenti bacaan sebelumnya. Matanya terus tertumpu pada satu ayat.

“ ..... Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”             
                                                                                                                                                         [65:3]

Tersenyum dia sendirian.  Kalau tidak didahulukan kewajiban, boleh jadi, berlaku macam-macam  kemungkinan.  Kali ini dia benar-benar merasa. Seolah sahabatnya itu adalah perantara, antara dirinya dan Dia.

Hatinya tenang. Tidak seperti sebelumnya. Ada sahaja waktu solat tidak terlaksana. Kejadian tadi benar-benar membuat dirinya berfikir. Kebergantungan pada Allah perlu ada, tak kira dimana kita berada.