Come on form five, you can do it, more than, more than, you can do it, weella weella wella wella wello, we are the best, the very very best, come on let's do it, tingkatan lima, 2010, woo... ALLAHUAKBAR!! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Takbir! ALLAHUAKBAR!

Sunday, August 31, 2014

MERDEKA!!!

Bulan Ogos ialah bulan kemerdekaan yang disambut oleh sebuah negara bernama Malaysia. Bulan Ogos juga kelihatan sangat Ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun dahulu - 10 Ogos 1511- Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu dilihat sebagai titik hitam dalam sejarah Tanah Melayu. 

Sejarah. 

Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti-Semenanjung Tanah Melayu dibawah British dan Batvi di bawah Belanda. Perjanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu - Pattani, Jala, Setul, Singggora dan Menora. Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hingga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor kuasa kolonial British telah memasukkan jarumnya untuk menajajah Tanah Melayu. 

Perjanjian Pangkor akhirnya membolehkan British menguasai kesuluruhan Semenanjung Tanah Melayu. Akhirnya Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British dibawah jagaan Raja England, dan bukan dibawah East India Company. 

Penjajah Barat datang untuk mencari kekayaan. Di Tanah Malayu, British menemui dengan bijih timah. British membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk mengembangkan ekonomi kolonial British. Untuk terus melipatgandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu dengan membawa masuk buruh daripada China dan India. Dengan kehadiran buruh China dan India ini, maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya. 

Dunia ini bergerak dengan hukum-hakam alam. Hukum-hakam alam ini ibarat sifir. Dua kali lima jawapannya adalah sepuluh. Begitu juga di Tanah Melayu ketika itu, sifirnya dimana ada penindasan disitu ada penentangan. 

Kemerdekaan yang dicapai melalui perjuangan rakyat, yang mahu kebebasan, yang mahu kedaulatan dan mahu berdiri sendiri setelah nilai-nilai tadi dirampas oleh kolonial Portugis, British, Jepun dan British kembali. Perjuangan itu wujud, jihad itu wujud dan air mata serta darah rakyat itu jatuh ke bumi. Jika ada pihak pada hari ini cuba menafikan fakta ini sesungguhnya dia telah menghina pejuang-pejuang yang dahulu. 

Jika ada yang mengatakan kemerdekaan itu dicapai tanpa pertumpahan darah, sesungguhnya dia membawa malu kepada bangsa ini. Diibaratkan perjuangan Tok Janggut adalah sia-sia. Perjuangan Mat Kilau adalah sia-sia. Perjuangan Dato Maharajalela adalah sia-sia. Perjuangan Kanang adalah sia-sia.

Sebelum terbentuk aspirasi rakyat untuk menuntut kemerdekaan nama-nama diataslah yang memulakan gerakan penentangan terhadap kolonial British dan akhirnya memberi kesedaran kepada pejuang-pejuang seterusnya. 

Hukum-hakam ini mengampuh lagi di Tanah Melayu. Tahun 1938 Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan - sebagai pertubuhan politik paling awal menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British. Pada ketika ini Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. Mula menyusun kaum buruh Cina di kota-kota seperti di Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Penentangan terhadap British melahirkan setiakawan diantara KMM dengan PKM diantara kaum tani Melayu dan kaum buruh India dan Cina. Dan setiakawan ini terus diperkukuhkan ketika empayar British dilondehkan ketika kesampaian Jepun pada tahun 1941. 

Apabila Jepun kalah pada 1945, sekali lagi British Military Administration masuk mengambil alih pentadbiran Tanah Melayu dan gerakan menuntut kemerdekaan diteruskan. Setiakawan antara bangsa-bangsa melahirkan PUTERA-AMCJA pada tahun 1947. Manakala gerakan kanan Melayu (UNITED MALAY NATIONAL ORGANISATION) pula ditubuhkan pada tahun 1946. Gerakan-gerakan ini bergerak melalui gerakan politik. 

Manakala API, AWAS, Hizbul Muslimin, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Meraka mengangkat senjata untuk menghalau dari Tanah Melayu. 

Tidak kisah sama ada nama-nama tokoh seperti Onn Jaafar, Tan Chen Lok, Tengku Abdul Rahman, M. Sambanthan mahupun nama seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Chin Peng, Shamsiah Fakeh juga Mat Indera, mereka tetap pejuang-pejuang kemerdekaan sekalipun melalaui garis dan jalan yang berbeza. 

Akhirnya 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu, merdeka. Dan 16 September 1961 Malaysia terbentuk. 

Patriotisme. 

Pada hari ini, setelah lebih 50 tahun mencapai merdeka, isu patriotisme terus menjadi perdebatan hangat menjelang hari kemerdekaan. 

Ada yang berkata rakyat hari ini sudah melupakan segala pahit getir pejuang-pejuang terdahulu. Ada pula yang berkata rakyat sudah muak dengan pemerintah yang selalu mengaitkan diri mereka dengan perjuangan kemerdekaan sehingga mereka meminta rakyat berterima kasih kepada mereka. Ada pula yang berkata kerana sesetengah kaum minoriti ditindas lalu menyebabkan semangat patriotisme itu semakin luntur. 

Seperti kes yang pernah berlaku pada tahun 2012, dimana keengganan rakyat Malaysia mengibarkan bendera Jaur Gemilang ketika sambutan hari kemerdekaan yang ke-55, menjadi isu. Sehinggakan, Menteri Penerangan dan Kebudayaan ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim melahirkan rasa kebimbangan terhadap perkara itu terpaksa mewajibkan jabatan-jabatan kerajaan mengibarkan Jalur Gemilang. 

Seharusnya, walau apa pun keaadaannya, semangat patriotisme perlu terus disemadikan dalam hati sanubari setiap rakyat di negara ini. Walau parti apa pun yang memerintah dan walau bagaimana pun keadaan sosial yang berlaku, patriotisme ini perlu terus wujud tanpa berbelah-bagi. 

Bendera. 

Berkenaan dengan Jalur Gemilang yang dikatakan diciplak daripada bendera Amerika Syarikat, seharusnya perbincangan berkenaan dengan sejarah tersebut perlu terus berjalan. Namun tindakan mempersenda dan tidak menghormati Jalur Gemilang merupakan perbuatan yang tidak wajar. 

Tidak salah untuk menimbulkan persoalan berkenaan Sang Saka Malaya atau Bendera Rakyat yang seharusnya dijadikan bendera rasmi negara tetapi tetapi perbincangan itu harus dibuat dengan berhikmah dan bijaksana serta berilmiah. 

Bakat. 

Kemudian berkenaan isu rakyat Malaysia yang tidak mahu kembali ke Malaysia setelah berkelana ke luar negara juga boleh kita bincangkan dan kaitkan dengan isu patriotisme. Setelah pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk membawa balik bakat-bakat yang hilang ini, namun sasaran dan objektifnya tidak tercapai. 

Ya benar, beberapa faktor yang dikaitkan dengan keengganan rakyat Malaysia yang berkelana diluar negara sehingga tidak mahu pulang memang penting. Faktor ekonomi yang lebih baik. Faktor suasana yang lebih selamat dan kehidupan yang lebih aman. Dan faktor jaminan untuk membina kerjaya yang lebih baik kerana suasana kerja yang berdasarkan meritokrasi dan sihat. 

Namun, bak kata pepatah; "Hujan Emas Di Negeri Orang, Hujan Batu Di Negeri Sendiri". Segala ilmu dan pengalaman yang dikutip seharusnya dibawa balik ke tanah air untuk diperjuangkan di sini. Seharusnya kemajuan dan segala suasana yang baik dijadikan motivasi untuk turut memajukan tanah air kita. Ini lah yang dikatakan patriotisme. 

Perpaduan. 

Setelah 57 tahun mengecapi kemerdekaan, isu perpaduan terus menjadi perkara yang terus dipertahankan oleh majoriti rakyat negara ini. Walaupun diancam oleh kumpulan ekstrimis kaum yang paranoid, mahupun ekstrimis agama yang memahami nas dengan sempit, perpaduan di negara ini perlu terus dipertahankan. 

Perpaduan sebenarnya menjadi tunjang kepada kejayaan yang kita kecapi hari ini. Segala usaha untuk memecah belahkan perpaduan di dalam negara ini seharusnya ditangani dan ditentang oleh semua anak bangsa Malaysia. Walaupun ia pernah meletus pada tahun 1969 dan tidak mustahil ia boleh meeletup lagi namun perjuangan untuk menyatu-padukan rakyat negara ini perlu terus. 

Perlu sentiasa wujud toleransi dan persefahaman yang kuat antara rakyat Malaysia. Perlu sentiasa menjadikan perbezaan antara kita sebagai suatu rahmat dan kekuatan agar negara dapat terus maju kehadapan. 

Penutup. 

Akhir kata, jangan lah berbelah bagi dalam menyayangi, menunjukkan kesetiaan dan berjuang untuk kebaikan negeri ini. Di sini kita dilahirkan, dan di sini kita akan mati. Negara Malaysia bukan lah besar sangat. Rakyat Malaysia bukan lah hebat sangat. Tetapi potensinya besar, semangatnya kuat dan jiwanya kaya. InsyaAllah Malaysia terus berjaya.

-Sung Muhammad-

Thursday, August 7, 2014

"Tak sabar ku tunggu hujung minggu Ku saksikan kugiran kegemaranku Melodi gaya ..."

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat Rasul junjungan Nabi Muhammad SAW.

Saya harus memulakan surah ini dengan memohon ampun dan maaf kepada penjenguk-penjenguk blog, kerana melepaskan tanggung-jawab saya sebagai penulis tetap blog ini. Tidak terlewat juga, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Dan Batin. Dan terakhir, ingin disampaikan doa solidariti kepada saudara-saudara kita yang ditindas oleh manusia penyembah nafsu dan syaitan, khususnya saudara kita di Gaza, yang teruk dibantai oleh Kerajaan Zionis Israel.

Di dalam surah ini, saya akan cuba menulis tentang saya. Sebagai anak muda. Sebagai anak muda, yang akan mewarisi dunia yang kucar kacir ini untuk disampaikan pula kepada generasi yang seterusnya. Kerana begitulah putaran hidup, setiap individu ada perjuangannya sendiri. Dan perjuangan paling hakiki buat semua manusia adalah mencari KEBENARAN.


SEJARAH

Jika ingin bicara soal sejarah pergerakan anak muda, terlalu banyak yang boleh kita sentuh. Sama ada yang tercatat oleh sejarahwan mahupun yang tidak mempunyai rekod. Jika ingin bicara soal pergerakan anak muda, yang jauh, pergerakan revolusi anak muda di Perancis pada musim bunga pada tahun 1968, yang menyaksikan pergerakan mahasiswa berjaya menghambat De Gaulle keluar daripada Perancis ( French Revolution, 1968). Kemudian menyaksikan penubuhan Ikhawanul Muslimin oleh anak muda as-Syahid Hassan Al-Banna di Mesir sehinggalah gerakan Mahasiswa yang menjatuhkan diktaktor Suharto pada 1998.

Apa yang membuat pergerakan anak muda ini sentiasa berjalan, cuba melakukan pembaharuan, cuba membetulkan keadaan, dan sering ditentang? 

Menurut buku Sejarah Gerakan Mahasiswa dan Cerminan Sedekad oleh Dr. Ridhuan Mohammad Nor, 
“Dunia adalah milik anak muda dan tanpa mereka dunia tidak akan berubah!”

Satu tulisan yang dapat membuka minda pembaca terutamanya dari kalangan pemuda pemudi. Di awal penulisan, penulis telah mendedahkan gerakan-gerakan mahasiswa dari rantau Asia bersama pencetusnya dari kalangan anak muda dengan julat umur 20-an sebelum menceritakan tentang gerakan di Malaysia. Antara negara-negara yang disebut adalah Mesir dimana tertubuhnya Ikhwanul Muslimin dibawah pimpinan Hassan al-Banna, Filpina dengan Jose Rizal, Aung San Suu Kyi di Burma dan lain-lain lagi.

“Kampus universiti atau institusi pendidikan sebagai wadah untuk mencanai pemnikiran anak muda, mengasuh menjadi pemimpin dan menuang idea-idea besar dalam minda mereka yang mendidih dengan semangat untuk mengubah masyarakat.” tegas penulis.

Ataupun seperti yang diceritakan oleh Hamka di dalam Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor: Sebuah Polemik Agama soal pertembungan idea anak muda antara Kaum Muda dan Kaum Tua di awal pergerakan Nasionalisme di Malaya. Dari sudut sejarah (Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda), pertumbuhan aliran Kaum Muda ini dikatakan bermula pada abad ke-17 dan 18 Masehi, iaitu merujuk kepada peranan Muhammad bin Abdul Wahhab (1703-1787). Namun sebenarnya aliran reformasi ini sudahpun bermula jauh sebelumnya, iaitu ketika kemunculan Ibnu Taimiyyah (1263-1328) yang disifatkan oleh Profesor Ismail al-Faruqi sebagai "the first and greatest Muslim reformer".

Perkembangan aliran reformis di peringkat dunia diwarnai dengan kemunculan beberapa orang tokoh yang dianggap sinonim dengan gerakan ini. Antaranya ialah Jamaluddin al-Afghani (1838M-1897M), Sheikh Muhammad Abduh (1849M-1905M) dan Rasyid Redha (1865M-1935M). Pemikiran tokoh-tokoh ini akhirnya mempengaruhi beberapa orang ulama Melayu yang menuntut di Tumur Tengah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Dalam konteks Tanah Melayu, gerakan Kaum Muda ini bermula dari selatan, iaitu Singapura seterusnya merebak ke Pantai Barat dan Kelantan merupakan di antara lokasi terakhir yang berjaya diserapi oleh idea-idea Kaum Muda.

Di antara tokoh-tokoh yang boleh disifatkan sebagai Kaum Muda ialah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin (1869-1956), Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syed Syeikh al-Hadi (1867-1934), Syed Muhammad Aqil dan Haji Abbas Mohd Taha. Mereka ini bergabung untuk menerbitkan majalah al-Imam (1906-1908), iaitu mirip majalah al-Manar dari sudut semangat dan prinsipnya. Selain dari mereka, Dr. Burhanuddin al-Hilmi, Haji Abbas Taha dan Za'ba sendiri pun merupakan tokoh-tokoh pemikir yang mempunyai serapan pemikiran Kaum Muda ini.

                                                     Revolusi anak muda di Peranchis 1968


FAKTOR

Persoalan yang perlu dirungkai, apakah sebab-sebab yang boleh kita  kaitkan dengan pergerakan anak muda yang sentiasa memperbaharui setiap perkara dari setiap sudut hidup manusia. Dan apakah fungsi yang boleh dimanfaat daripada pembaharuan anak muda di setiap gerakan.

Pertama, dunia sentiasa bergerak. Hakikatnya, bumi sudah berusia lebih daripada ratusan juta tahun. Sekiranya anak muda Indonesia hanya mengambil masa 7 hari untuk menjatuhkan Suharto, apa lagi dunia ini sudah melalui proses yang cukup panjang. Namun, perjuangan ini juga satu proses yang cukup panjang, revolusi tidak akan terilham dalam masa beberapa saat, tetapi perjuangan anak muda adalah SETIAP MASA.

Keduanya adalah perkembangan ilmu dan maklumat. Sekiranya perkembangan Kaum Muda adalah disebabkan membawa balik idea-idea dari Timur Tengah untuk diperdebatkan menentang idea tradisional oleh Kaum Tua, begitu juga lah bagaimana gerakan anak muda Mesir yang membogelkan Hosni Mubarak, yang dikatakan penyebaran maklumat mengenai demonstrasi disebarkan hanya melalui Facebook dan Twitter. Begitu juga dengan wacana-wacana segar dan bebas berjaya memercik api perjuangan dalam diri anak muda sabagaimana yang dilakukan oleh Hassan Al-Banna sewaktu mengembangkan Ikhawanul Muslimin sehingga berjaya menarik 500 ribu ahli dalam masa sedekad. Di dalam buku Memperingati 100 Tahun Hassan al-Banna menyatakan dia berusaha untuk membawa perubahan beliau berharap untuk melalui institusi-bangunan, aktivisme tidak henti-henti di peringkat akar umbi, dan pergantungan kepada komunikasi massa. Di samping itu, ahli-ahli telah bergabung dengan gerakan melalui satu siri diskusi yang dipanggil Usrah.

Dan faktor ketiga adalah keberanian, dan keghairahan anak muda itu sendiri yang berjaya membangkitkan rasa inginkan perubahan di dalam diri setiap anak muda. Anak muda itu tidak lesu dalam menangani isu masyarakat. Anak muda cakna dan proaktif dalam mendepani isu. Dan anak muda berani mengambil RISIKO dalam menyelesaikan sesuatu isu.


SEKARANG DAN CABARAN-CABARAN KITA

Kini pergerakan anak muda di Malaysia lesu! Tidak proaktif dan tidak cakna. Mungkin kerana sekian lama terkongkong oleh AUKU (bagi golongan mahasiswa) atau terpengaruh denga idea radikal sehingga selalu menimbulkan kekecohan yang tidak wajar. Gerakan intelektual anak muda juga tidak seperti dahulu, kurang anjuran wacana-wacana dan perbincangan terbuka. Kalau ada pun banyak berkisar tentang parti politik berbanding perbincangan intelek. Mungkin kerana wacana-wacana yang diadakan kini lebih gemar menjemput ahli politik berbanding tokoh akademik dan intelek. Mungkin juga disebabkan oleh Yb-zation dan Lebai-zation dimana anak muda lebih gemar menceburi bidang politik berparti ataupun sibuk hendak menjadi ustaz dan sibuk mencari fatwa ‘rare’ di googe dot com. Atau kerana definisi BELIA (baca anak muda) terlalu dipelopori oleh golongan tua? (30-40 tahun)

Sekiranya anak muda merasakan tiada ruang yang cukup untuk bersuara, ruang itu perlu dicari dan dituntut. Sekadar menjadi pahlawan papan-kekunci separuh masa kemudian melepaskan geram di Mukabuku atau Kicau tidak cukup. Anak muda perlu selalu menulis, mengkaji dan melontarkan pendapat dengan cara yang intelek dan beradab. Salah satu medium yang disediakan oleh Kementerian Belia Dan Sukan iaitu Parlimen Belia adalah satu platform yang baik untuk anak muda menyuarakan pendapat tanpa menimbulkan huru-hara dalam negara. Pedebatan terbuka dan teratur sebigini, mampu mendidik masyarakat supaya memahami sesuatu perkara daripada ‘mata burung’ bukan dari sudut yang sempit.

Gerakan-gerakan anak muda juga harus sentiasa pro-aktif mendepani isu penting. Berkenaan keadilan, mengenai kebajikan dan mengenai membela rakyat miskin. Gerakan anak muda perlu berada di barisan hadapan untuk membela nasib petani, penoreh getah dan kaum buruh.
Anak muda tidak seharusnya menjadi macai atau kuda tunggangan parti politik atau individu yang punya kepentingan politik. Kita seharusnya bebas daripada mana-mana pengaruh dan menjadi kuasa ketiga atau kuasa penentu sebagaimana yang pernah berlaku di Indonesia dan Peranchis. Kuasa penentu ini akhirnya membentuk masa hadapan sesebuah negara. Kuasa penentu yang bebas daripada pengaruh tangan jahat elit politik.



AKHIR

Sebagai penyambung dan pewaris tanah air ini, kita harus menentukan hala tuju negara kita. Kerana, kita yang akan mewarisi segala perkara yang ditinggalkan oleh pemimpin hari ini. Pemimpin hari ini insyaAllah tidak akan ada dalam masa 10 tahun akan datang. Kita yang mewarisinya. Sebab itu perlunya anak muda untuk sentiasa memainkan peranan besar dalam menentukan dasar negara dan hala tuju bumi ini. Memang, sentiasa ada penentangan tetapi itu adalah lumrah kehidupan, dan perkara itu sudah di tempuhi oleh pejuang-pejuang kita sebelum ini.

"I've got another confession my friend (Aku ada suatu pengakuan, kawan ku)
I'm no fool (Aku bukan bodoh)
I'm getting tired of starting again (Aku penat untuk mula semula)
Somewhere new (Suatu yang baru)
Were you born to resist, or be abused? (Adakah kau dilahirkan untuk melawan atau ditindas?)
I swear I'll never give in, I refuse (Aku bersumpah aku takkan mengalah, aku tak mahu!)” 

Dave Grohl, Best of You.




Rujukan;

1) Potret Perjuangan Mahasiswa dalam cerminan dekad by 
2) Memperingati 100 Tahun Hassan al-Banna by 

3) Menyulut Lahan Kering Perlawanan: Gerakan Mahasiswa 1990an (Tribute to Andi Munajat) by 

The Cultural Atlas of Islam by 

5) Hermeneutik Reaksi Reformasi Kaum Muda by 
6)Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor: Sebuah Polemik Agama by 
7) French Revolution, 1968 by 

Road to Kuantan: Walimah Asma'

Salam.

Post kali ini sekadar berkongsi pengalaman berjalan / musafir / jaulah ke Kuantan untuk menghadiri walimatul urus Asma' Zaharuddin. Untung jadi orang ke-2 yang kahwin dalam batch. Awal-awal ni orang rajin lagi nak datang walimah jauh-jauh. haha.

Ana menulis ni dari sudut pandang peserta perempuan yang bergerak dari JB.
Jadi dalam rombongan JB yang berkonvoi, kami ada 5 perempuan dan 4 lelaki. Lelaki naik kereta Sung dan perempuan naik kereta Athirah Kahar.

Plan nak berkumpul di Sri Putri pukul 6.30 pagi tapi set hanya tinggal set.
Kira-kira jam 8.00 pagi, masuk highway, singgah tol Simpang Renggam ambil Andi Aisyah dan teruskan perjalanan.



Kalau tengok Google Maps, perjalanan dari Skudai ke UIA Kuantan cuma 4 jam setengah macam tu je. Tapi mungkin sebab kami agak banyak berhenti dalam perjalanan (makan dan susah cari tandas yang best), akhirnya perjalanan kira-kira 5 jam lebih.

sumber: website UIA

Sampai je UIA Kuantan semua dalam kereta kagum sebab UIA Kuantan cantik. Yelah, kali pertama datang kan. Nampak masjid dia dari jauh, wah, cantik juga.

Akhirnya kami pun masuk dewan, mula-mula disapa ayah Asma', Ustaz Zaharuddin. Baik je pakcik sapa kami. Segan pulak sebab pakcik yang tegur dulu, "kawan-kawan Asma' eh?". Lepas tu jumpa mak Asma' pula, Ustazah Wan Rafiqah. Baik je layan kami pastu jemput makan sebab baru sampai.

Lepas makan, sesi bergambar. Serius banyak gambar. Terima kasih banyak-banyak kat Asma' sebab layan je kami yang bergambar lama-lama dengan dia. hoho.

banyak kan gambar?

Tak tau nak pilih mana satu gambar untuk jadikan gambar utama. Akhirnya pilih yang ini jelah sebab gambar ni yang paling ramai muka normal.

maaf buat sesiapa yang tak minat muka dia dalam gambar ni.



Lepas tu kami yang perempuan pun jalan-jalan sekitar kawasan wedding, sign guestbook dan solat di Masjid UIA Kuantan yang cantik tu.

Selepas solat, kami yang perempuan bertolak balik ke JB. Jalan balik agak lama juga sebab berhenti makan, solat dan jalan agak sesak di Segamat. Alhamdulillah, berjaya pulang ke JB tanpa sesat dan salah jalan.

Perjalanan ini agak meletihkan, tapi sangat seronok sebab dapat hadir majlis Asma', jumpa balik kawan-kawan sekolah, maka dapatlah borak banyak kan. Lagi-lagi yang satu kereta. Lebih 12 jam bersama, banyaklah yang diceritakan.

1-day JB-Kuantan-JB trip: achievement unlocked

Terima kasih Asma' sebab buat majlis jauh-jauh, boleh kami jalan-jalan. hehe. (ni bukan sarkastik tau)
Terima kasih buat ibu bapa kami yang bagi green light untuk drive sendiri jb-kuantan-jb.
Terima kasih kawan-kawan sekereta, sekonvoi dan kawan-kawan lain yang turut hadir ke walimah. Serius seronok dapat jumpa balik lepas hampir 4 tahun tak jumpa.
(Tapi tak sempat jumpa Raudhah sebab masa dia sampai, kami baru balik. sobs)
Terima kasih tuan punya kereta dan parentsnya. Serius, jimat kos.
Terima kasih.

Alhamdulillah 'ala kulli hal.

:)

Monday, August 4, 2014

Menuntut Ilmu

Assalamualaikum.

Ingin berkongsi sebahagian bab daripada penulisan Hamka dalam sebuah buku karangan beliau “Lembaga Hidup”. Penulisan yang sangat baik yang menyentuh tentang ilmu. Sekadar ingin mengingatkan kita kembali tentang hakikat ilmu, yang mungkin sebahagian daripada kita telah melupainya. Ilmu yang sepatutnya membawa kita kembali kepada Tuhan, mencerahkan akal, memurnikan jiwa, mempelokkan akhlak dan sebagainya. Semoga kita memperoleh sedikit manfaat daripada perkongsian ini.



Dalam menuntut ilmu cara yang terbaik ialah pada seorang guru yang banyak pengalaman, luas pengetahuan, bijaksana dan pemaaf, tenang dalam memberi pengajaran, tidak lekas bosan lantaran pelajaran itu tidak lekas dimengerti oleh murid. Hendaklah si murid rindu dan cinta pada ilmu, percaya pada keutamaannya dan yakin pada manfaatnya.

Hendaklah yang menimbulkan keinginannya menuntut ilmu itu keredhaan Allah. Sebab dengan ilmu yang luas itulah dapat mengenal Tuhan dan membangun budi pekerti. Bukanlah ilmu sekadar untuk mencari makan dan mencari gaji. Jangan menuntut ilmu kerana hendak riya'. Orang yang riya' itu sebenarnya tidaklah menjadi besar, tetapi orang terhina. Pengambil muka tidaklah terhormat tetapi tersisih. Dimukanya orang menganggukkan kepala, di belakangnya orang mencebik. Sepandai-pandai membungkus, yang busuk berbau juga.

Apabila suatu ilmu hendak dituntut, hendaklah dimulai dari pangkalnya. Supaya sampai dengan teratur kepada akhirnya. Barang siapa yang memulai suatu perkara dengan kusut, sampai kepada akhirnya akan kusut jua. Dan orang yang seperti demikian adalah menipu diri sendiri.

Menuntut ilmu tidaklah mudah. Di dalamnya akan bertemu bahagian-bahagian yang susah. Tapi janganlah ditinggalkan yang susah kerana mencari yang mudah. Kerana kalau cuma mencari yang mudah-mudah sahaja, tidaklah dia menjadi ilmu. Dua kali dua sama dengan empat, anak umur tujuh tahun pon tahu. Banyakkan menyelidiki sendiri, supaya terbuka rahsia perkara-perkara yang belum dipelajari . kerana ada pula ilmu yang tidak dipelajari dengan berguru, tetapi beroleh sendiri dari pengalaman.

Jangan putus asa jika otak tumpul dan akal kurang cerdas. Kerana kadang-kadang seseorang yang tumpul otak tetapi tidak putus asa, lebih berhasil daripada seseorang yang cerdas tetapi pemalas.

Jangan lalai menuntut ilmu, kerana merasa diri telah tua. Kerana kalau dia insaf, akan lebih banyaklah orang tua yang berpengalaman mendapat ilmu daripada anak-anak yang hanya mendapat ilmu kerana untuk dihafal. Ilmu yang dipelajari pada waktu kecil, dihafal dan diperhatikan sungguh-sungguh barulah diketahui rahsianya dengan yakin setelah umur tua.

Pada masa yang lampau orang-orang yang tidak berilmu mampu memimpin perkumpulan semata-mata atas dasar kesungguhan dan kesanggupan. Ketika itu mereka merasa tidak perlu menuntut ilmu, asal untuk bekerja.

Hendaklah dia mengusahakan dirinya supaya tingkah lakunya sepadan dengan darjat ilmunya. Hendaklah dia berusaha menuliskan ilmu-ilmu penting yang didapatnya. Kerana kadang-kadang ilmu yang kita pandang kecil, kerana diabaikan, ternyata ilmu kecil itu amat perlu untuk penambah barang besar yang kita selesaikan. Tidak sempurna barang besar kalau tidak ditambah dengan yang kecil tadi.

Ilmu berkecil-kecil kadang-kadang timbul dari kejenakan orang lain, dari falsafah hidupnya. Atau dari perbuatan seorang ternama yang kelihatannya aneh tetapi mengandungi kesenian, atau suatu kisah kecil yang penting ertinya. Ulama-ulama dahulu kala tidaklah lalai mengumpulkan hal-hal yang demikian. Kalau sedang terpisah-pisah tidaklah tahu kita akan gunanya. Tetapi apabila telah tersusun menjadi suatu karangan yang indah, insaflah kita bahawa keindahan karangan itu adalah lantaran diberi perhiasan dengan bunga-bunga catatan kecil itu.

Latihan menulis juga perlu diperhatikan, diperindah hurufnya dan dipercantikkan susunannya. Jangan lupa menyimpan buku catatan untuk menulis fikiran yang mendatang, buah renungan yang tiba-tiba dan ilham yang menjelma ke dalam ingatan dengan tidak disangka-sangka. Barang itu sangat mahal harganya, sukar didapati. Lekas-lekaslah tangkap dan ditulis dalam buku catatan. Melalaikan barang yang demikian adalah kerugian yang paling besar.

Sabra dan teguhkan hati dalam menuntut ilmu, janganlah lekas bosan dan kecewa. Bukan sahaja menuntut ilmu, bahkan dalam segala perkara; pekerjaan, usaha, semuanya berkehendakkan kepada kesabaran.

Dalam hidup ini tidaklah ada yang manis selalu, melainkan pergantian di antara pahit dan manis. Kalau manis sahaja yang bertemu, tentu kita pon tidak akan sabar pula kelak, atau bosan. Biasanya kita merasa pahit  dan tidak sabar menerima keadaan kita sendiri, lalu terlihatlah kemanisan orang lain. Padahal kalau kita jadi orang lain itu, akan insaflah kita bahawa di sana pon ada juga kepahitan. Maka kesabaran dan ketetapan hati itulah yang amat perlu dalam perjuangan menuntut ilmu.

Jangan diringankan pergaulan dengan guru. Meskipun telah pandai, telah pintar dan otak terang, janganlah berfikir hendak mengalahkan guru. Sedab dengan sikap tidak hormat, hilanglah martabat ilmu. Jangan pula membesarkan guru lebih daripada mestinya. Sehingga apa katanya dituruti walaupun salah. Pendapatnya ditampung sahaja dengan taklid walaupun sesat, iktikadnya ditelan sahaja walaupun membawa bahaya. Tetapi hendaklah bersikap kritis. terima mana yang rajih, tinggalkan mana yang marjuh.