Come on form five, you can do it, more than, more than, you can do it, weella weella wella wella wello, we are the best, the very very best, come on let's do it, tingkatan lima, 2010, woo... ALLAHUAKBAR!! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Takbir! ALLAHUAKBAR!

Friday, October 10, 2014

Ishak Haji Muhammad

             Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali dengan gelaran beliau Ishak Haji Muhammad merupakan salah seorang tokoh yang tidak asing lagi di bumi Malaysia. Tetapi sayangnya, berapa ramai dikalangan kita yang pernah membaca karya beliau yang sarat dengan kritikan halus terhadap masyrakat pada zamannya yang boleh kita ambil pengajaran dan pedoman dalam kehidupan ini. Novel sulung beliau, Puteri Gunung Tahan yang pernah kita baca semasa Tingkatan 5 dahulu, adakah kita masih ingat pengajaran-pengajaran yang ada dalamnya? Atau kita sekadar membaca untuk lulus SPM? Penulis juga agak kesal kerana agak terlambat untuk mengenali dengan lebih mendalam kehebatan tokoh ini melalui karya-karya beliau.

             
             Kalian sebagai seorang yang berdarah Melayu sewajarnya lebih ghairah untuk mengkaji sejarah kesusasteraan Melayu dan membaca karya-karya Melayu walaupon bidang ini semakin tidak mendapat sambutan oleh masyarakat dan hanya dipandang enteng malah kadang-kadang diperlekeh. Nilai-nilai kemanusiaan dan sindiran terhadap masyarakat yang dipaparkan dalam tulisan beliau sering mengingatkan penulis akan kehalusan akhlak orang Nusantara dalam amalan seharian. Untuk menegur pon digunakan bahasa kiasan yang halus yang mungkin agak janggal kalau kita dengar pada zaman ini.


Petikan daripada ucapan beliau di Majlis Konvokesyen anugerah Ijazah Kehormat, Doktor Kesusasteraan, Universiti Malaya:
Bahasa Melayu, istimewa dalam bentuk-bentuknya yang klasik, bukanlah suatu bahasa yang mudah boleh difahami, atau dinikmati sepenuh-penuhnya. Seperti bahasa-bahasa yang agung dalam dunia, maka bahasa Melayu tidak pernah bersifat mudah lurus, tumpul atau kering. Dan ia tidaklah seyogia(sepatutnya) dibiarkan menjadi demikian, sekiranya ia hendak kekal menjadi suatu bahasa yang berguna, lagi indah, dengan kata-kata kiasan, kata-kata sindiran yang tajam, kesamaran-kesamaranya yang disengajakan , tikamannya yang menjadi renungan dan ketajamannya yang sangat halus, yang bertujuan bukan untuk menyakitkan tetapi sebagai ubat penawar”


            Antara teguran beliau yang lain terhadap perkembangan bahasa yang semakin menggusarkan, “…oleh sebab ia tidak dipelihara dengan cukup baik dan dimajukan dengan sebaik-baiknya, ia bertukar menjadi suatu bahasa yang kasar, yang payah hendak difahami, dengan perkataan-perkataan baru yang entah apa makna dan maksudnya, dengan istilah yang lintang-pukang….”


            
             Kegusaran beliau pada tahun 70-an dahulu boleh kita nampak pada zaman ini. Pelbagai istilah-istilah baru yang sangat pesat membangun hingga kadang-kadang kita tak tahu pon apa maksudnya. Kehidupan manusia yang semakin berubah, cara hidup yang sangat berbeza dengan zaman dahulu sedikit sebanyak menghakis nilai-nilai kemanusiaan yang ada dalam masyarakat.

             Pak Sako juga gemar menggunakan elemen kelakar dalam penulisan beliau tetapi tidak pernah lari dari pokok persoalan yang ingin beliau timbulkan. Beliau merupakan orang yang pertama bercita-cita untuk menerbitkan akhbar Utusan Melayu bersama A. Rahim Kajai dan akhirnya menjadi pengasas kepada akhbar tersebut. Beliau menjelajah sebahagian besar Tanah Melayu untuk menerangkan akan cita-cita beliau dan akhirnya ramai yang menyatakan sokongan terhadap beliau.


            Antara novel beliau yang popular ialah Putera Gunung Tahan. Mengisahkan tentang 2 orang Inggeris iaitu William dan Robert yang pergi ke Gunung Tahan untuk mencari harta dan tempat peranginan. Mereka menyangka mereka boleh memperdayakan rakyat tempatan. Akhirnya mereka berdua mati dengan cara yang hina. “Kalau Jebat terkenal sebagai pengorak langkah dan mendahului kepintarannya bersenjata, Pak Sako pula terkenal sebagai seorang pengorak langkah dan mendahului zamannya menentang ketidakadilan pemerintah dan masyarakat melalui penanya,” kata Prof Madya Abdul Latif Abu Bakar (Zulkarnain Zakaria, 1999).


Masih banyak lagi karya beliau yang penulis belum terokai dan baca. Semoga kita sama-sama berusaha untuk mengkaji akan idea yang ingin beliau sampaikan dalam penulisan beliau. Penulis akhiri penulisan ini dengan sebuah sajak hasil karya Pak Sako.

Bapak ruged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini;
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini.

Orang-orang kampong menghadap kiblat,
Mereka membaca komik-komik Barat:
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat.

Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking;
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dancing.

Tetapi, bila bergula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang kepada petai dan kerdas,
Barulah nak belajar mandi hadas.

Melayu bukan, Malaysian pun bukan,
Cina bukan, India pun bukan,
Inikah akar-akar yang mengaku rotan?

Atau kaca-kaca yang mengaku intan?

No comments: