Come on form five, you can do it, more than, more than, you can do it, weella weella wella wella wello, we are the best, the very very best, come on let's do it, tingkatan lima, 2010, woo... ALLAHUAKBAR!! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Takbir! ALLAHUAKBAR!

Monday, January 26, 2015

The Making of Scones

Salam.

Alhamdulillah, hujung minggu lepas dapat join program ke-3 dalam siri 'The Open Circle'. Buat yang belum tahu, The Open Circle ni program bulanan khusus untuk wanita/gadis yang merupakan alumni Sekolah Islam Hidayah (PaLS). Masa program pertama dan kedua, diadakan sembang santai dengan Makcik Sumilah dan Ustazah Jamilah (respectively). Untuk event yang ke-3 ni, nak buat kelainan sikit, maka wujudlah idea untuk buat kelas baking. Hidangan yang dipilih ialah Scones sebab tak ramai tau buat, tapi sebenarnya mudah je nak buat, insya-Allah.

Scones ni merupakan hidangan British. Dia macam donut, tapi takda lubang, luar dia keras tapi rapuh (crumbly) dan dalam dia lembut. Rasa dia manis. Biasanya dimakan dengan jem dan krim. Oh, sedapnya.

Ini plain scones yang dah diletakkan jem dan krim. strawberi dan kismis tu hiasan je.

Kami belajar buat 3 jenis Scones: 1) Cheese Scones, 2) Raisin Scones dan 3) Plain Scones
Tak banyak beza pun dalam resepi ketiga-tiga scones ni.

Memandangkan kat FB dah di-share resepi yang English version, maka di sini ana share resepi versi Bahasa Melayu. lagi senang nak express. ceh.


Plain Scones

Bahan-bahan:

  • 225g tepung naik sendiri (boleh campur tepung biasa), sudah diayak/sieved
  • 25g gula kasta
  • 50-100g butter sejuk
  • 1 cubit garam
  • 1 sudu teh baking powder
  • 150ml susu
  • 1 biji telur campur susu
  • Aluminium foil (buat alas baking tray. Senang, tak perlu basuh tray)


Cara-cara:

  1. Campurkan tepung, garam, gula dan baking powder. Gaul rata. Guna tangan je.
  2. Masukkan butter dan gaul rata lagi. Pastikan gaul guna hujung jari je, dan gaul sampai dia jadi crumbs. Pastikan juga takda gumpalan-gumpalan kecil. Biar nampak smooth macam pepasir.
  3. Buat lubang kat tengah-tengah, masukkan susu. Gaul rata guna sudu kayu.
  4. Taburkan tepung (dusting) atas gumpalan mixture tadi.
  5. Masukkan dalam fridge selama 10 minit. (Tapi kalau nak cepat, boleh skip this step)
  6. Uli sampai dia jadi setebal 1-2cm.
  7. Tekap guna cawan atau gelas. Elakkan memutar ketika menekap bagi memastikan scones dapat menaik dengan baik semasa dibakar.
  8. Letak scones yang dah ditekap atas aluminium foil (yang kat baking tray, of course)
  9. Sapu campuran telur + susu atas scones yang dah ditekap supaya atas dia jadi berkilat lepas dibakar.
  10. Bakar selama 12-15 minit dengan suhu 220°c
  11. Lepas siap, belah dua scones secara melintang, sapu butter, jem dan/atau krim. tutup balik scones, dan makan.


Senang kan?

Cheese Scones
 Untuk Cheese Scones:
- Tambah secubit serbuk lada hitam lepas no. 1
- Tambah cheese yang dah dicincang lepas no. 2. Guna goat cheese sedap, sebab rasa dia pekat lagi.
- Tak perlu makan dengan krim atau jem. Boleh makan terus gitu.

Untuk Raisin Scones:
- Tambah kismis lepas no. 2. 

Pre-baked raisin scones.
Macam chocolate chips pun ada kan?
Oh, raisins ni boleh ganti dengan chocolate chips pun, kalau nak.


Jadi, itulah dia resepinya. Mehla cuba buat.
Kalau batch ada buat gathering yang ada potluck, boleh la ramai-ramai bawa scones buatan sendiri. ohoho.

InsyaAllah program The Open Circle akan diteruskan setiap bulan. Ana akan terus update bila ada nanti.

Oh, dan tahun ni merupakan tahun ke-5 sejak kita habis sekolah. Jom buat gathering batch ~

Sekian, wassalam :)

Wednesday, January 21, 2015

Kenapa Muzik?

Kenapa muzik? Kenapa bukan debat? Bukan sukan? Bukan badan beruniform dan sebagainya?

Entri ini ialah entri tulisan sendiri dan bukan dicetak dari mana-mana. Saya menulis entri ini sebelum bertolak semula ke UIA Gombak untuk menyambung latihan muzik.

Muzik seringkali dikaitkan dengan aktiviti kotor, dadah, arak, dan pencampuran jantina. Saya sudah serik dengan semua tohmahan prejudis terhadap muzik. Namun, saya masih rajin menerangkan segala kebaikan tentang muzik ini.

Kenapa Muzik?

Muzik Melatih Minda Kreatif dan Aktif Sejak Hari Pertama
Dulu aku (since monolog kebiasaannya guna aku, aku lebih selesa menggunakan aku) pernah jadi cikgu muzik di Yamaha Music Centre Sdn. Bhd. berdekatan dengan rumah dalam subjek gitar klasikal dan dram. Aku perhati, lebih daripada 80% pelajar muzik di sekolah itu memperoleh keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan berbanding mereka yang biasa.
Memanglah ramai yang tidak mempelajari muzik boleh score lagi dahsyat kan, tapi, aku baru dapat cerita pasal senior aku di UIA yang bermain keyboard dan piano dalam band kami. Beliau bermain accordion sejak kecil, seawal umur 6 tahun ketika keluarga beliau menetap di Mesir dahulu. Hasilnya, telinga beliau sungguh tajam dan boleh bermain apa-apa sahaja lagu yang baru sahaja didengarinya.
Tambahan lagi, beliau merupakan seorang pelajar yang menuntut Aerospace Engineering di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menamatkan pelajarannya pada usia semuda 23 tahun. Aerospace engineering kat UIA memang antara kursus yang orang pandang tinggi sebab... UIA susah. Hahahahaha. Ha ah UIA susah.
Tambahan kepada itu, credit hour setiap semesternya tidak pernah kurang daripada 20 (ini sesuatu yang asing bagi pelajar engineering di UIA sebab UIA banyak subjek tambahan). Antara bukti kebijakan beliau ialah beliau graduate dengan namanya tertera di papan Dean's List.

A: Muzik haram doh.
B: Kalau muzik haram, cuba azan tak berlagu, baca al-Qur'an tanpa alunan, nasyid kita ganti dengan sajak je.

Disiplin, Selain Badan Beruniform
Kami dalam kumpulan muzik bukan bermain muzik untuk suka-suka ataupun atas dasar minat semata-mata. Kami mendapat latihan daripada cikgu kami yang juga merupakan penggubah lagu untuk pemuzik Istana Budaya (IB) dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM). Oleh itu, kami disuap dengan lagu-lagu dan muzik tradisional Melayu yang kaya dengan irama dan melodi serta pengajaran yang sangat berkait dengan hidup.
Dalam muzik, kami perlu bermain mengikut tempo yang ditetapkan oleh ahli perkusi ataupun pemain dram, dan kami perlu bermain mengikut "pitch" atau "key" yang seragam supaya tidak berbunyi sumbang. Nampak macam senang, tapi cuba kita tengok persembahan muzik secara langsung, kalau ada penyanyi terpele'ot suaranya, mesti kita macam "erk!"
Dalam masa rehat sebelum melangkah ke lagu yang seterusnya, kami dilatih untuk diam dan tidak membunyikan alat muzik kami langsung. Dengan melanggar adab ini, majlis yang sedang dilangsungkan boleh mengalami kekacauan bunyi.
Kami kadang-kadang waktu cuti balik awal macam pelajar PALAPES dan sebagainya, pergi ke pusat latihan seawal 8 pagi untuk memulakan latihan. Siapa kata berkawad je kena bangun awal?

Q: Kenapa kau beli gitar banyak-banyak? Tak cukup ke satu?
A: Kenapa orang dah ada satu kamera beli lagi kamera lain? Beli lagi lens lain banyak-banyak?

Budaya Luar
Muzik ialah budaya. Kenapa kalau kita dengar orang petik gambus, kita tahu itu lagu Arab? Sebab itu budaya Arab.
Kenapa kalau ada sitar dimainkan, kita tahu itu muzik dari India? Sebab filem-filem Hindustan pun telah mendedahkan kita kepada budaya negara mereka.
Dengan muzik, saya juga telah mempelajari bahawa segala nota-nota muzik moden yang kita dengar pada hari ini diasaskan oleh orang Arab yang bermain gambus pada awal lagi. Sewaktu Eropah menakluk dunia, mereka mencipta semua "scale" muzik orang Arab dan memberikan nama baru mengikut nama bahasa-bahasa di Eropah, seperti Aeolian, Phrygian, Ionion, Lydian, Locrian, dan beratus lagi.
Dengan muzik, saya mengenali adab setiap kaum dalam dunia. Contohnya, lagu-lagu yang dimainkan oleh orang Arab kebanyakannya sedih dan mellow, in contrast, lagu-lagu yang dimainkan oleh orang barat berbunyi gembira. Ini semua dapat diselidik semula melalui teori muzik.

Fakta:
Alunan bacaan kitab-kitab suci dan selawat dialunkan mengikut lagu-lagu gambus yang sudah lama digubah. Hal ini kerana gambus telah lama wujud sebelum penurunan al-Qur'an.
Tekan pautan ini untuk contoh lagu gambus.

Silaturahim
Antara faktor-faktor paling penting dalam pembikinan muzik yang harmoni ialah hubungan sesama pemuzik. Bayangkan pemain dram dan pemain gitar bergaduh ataupun bermasam muka. Tak jadi apa-apa entah lagu yang dimainkan.
I learnt building chemistry in a hard way. Semua orang mempunyai ilmu masing-masing dan susah untuk terima ilmu baru, semua orang pun. Bak kata senior saya, ego seorang pemuzik sangatlah tinggi, sehingga boleh melawan cakap seorang gurunya.
Dan tidak dilupakan, muzik menambah kawan baru dari dunia sendiri dan juga dunia luar. Perbezaan antara mendengar muzik dan belajar muzik pada saya ialah mengasingkan antara seorang "idola" secara buta dan seorang "cikgu" mahupun secara langsung atau tidak. Kami pergi menonton permainan muzik bukan untuk pemainnya yang kacak-kacak ataupun comel, tapi untuk ilmunya yang ditampilkan dalam permainannya.

Sejarah dalam Dunia Ilmuwan Islam
Dalam bacaan saya, teori muzik banyak disumbangkan oleh ilmuwan Islam dan untuk memetik satu nama, beliau ialah Abu Al-Nasr' Al-Farabi. Beliau mempunyai satu kitab tebal yang menceritakan muzik dengan penuh keajaiban.
Lihat rajah di atas. Ini ialah "music staff" untuk menempatkan nota-nota muzik yang dibaca oleh pemuzik. Mengikut seorang pelajar muzik UiTM Shah Alam yang merupakan abang bassist kumpulan kami, lima garisan ini dibuat bersempenakan lima rukun Islam. Wallahu a'alam.

Dan beliau juga menceritakan kepada saya, alat muzik pertama yang dicipta merupakan gambus oleh cucu nabi Adam. Pembuatan gambus diilhamkan oleh saudaranya yang mati, (of course manusia). Sebab itu semua gitar sampai sekarang ada kepala, leher, dan badan.
Pada zaman kejatuhan Islam, orang Eropah, namely Spain, telah mengambil gambus ini dan menambah dawai besi yang dipanggil fret, dan oleh itu, muncullah gitar.
Abu Al-Nasr' Al-Farabi juga telah menggunakan kaedah terapi muzik pada zamannya untuk merawat pesakit-pesakit mental dan hati.
__________________________________________________________________________________

Kesimpulan
Sebenarnya banyak lagi kebaikan dalam pelajaran muzik, tak kira formal ataupun tidak. Nak tulis banyak sangat kot. Contohnya, imaginasi seseorang boleh menjadi sangat aktif apabila mendengar muzik dan hal ini boleh membantu dalam pelajaran yang memerlukan daya pemikiran yang cerdas, seperti fizik, matematik, dan sebagainya.
Banyak kajian yang dilakukan oleh orang barat terhadap pendengar (sahaja) dan pelajar muzik, dan perbandingan telah dibuat and for sure, a musician's brain works extra active than any ordinary person.

I'm not persuading you to learn music. Entri ini ditulis untuk berkongsikan pandangan dan pengalaman saya dalam ilmu muzik. So far, muzik banyak membantu saya dalam kehidupan berbanding menyusahkan.

Yang penting niat dan cara yang betul.

'If I were not a physicist, I would probably be a musician. I often think in music. I live my daydreams in music. I see my life in terms of music.' - Albert Einstein

Thursday, January 15, 2015

Hal Dialog dan Pluralisme: saya mencari kedamaian.

Semenjak dua tiga bulan ini, beberapa perkara telah berlaku. Bermula dengan kehilangan pesawat, ada yang hilang tanpa jejak, ada yang ditembak jatuh dan ada yang jatuh tapi tidak tahu apa sebab. 

Kemudian kisah musibah banjir yang melanda negara Malaysia, bermula kisah kerjasama dan bergaduh. Berkerjasama kerana semua pihak yang tidak mengira musuh politik bersana membantu mangsa banjir kemudian bergaduh kerana antara pihak-pihak ini juga menuduh antara satu sama lain kerana menjadi punca kepada banjir. 

Tidak kurang juga ada ularmak yang berfakwa banjir berlaku kerana Malaysia tidak melaksanakan hudud dan Tuhan murka. Mekah tu dulu pernah banjir kerana apa pulak tu?

Namun perkara yang paling membimbangkan saya adalah terhakisnya perpaduan dan kasih sayang antara kita rakyat Malaysia. Penat sudah kita menyalahkan NGO paranoid Isma dan NGO tidak cukup oksigen Perkasa kerana menyebarkan kebencian antara kaum. Kemudian terjadi pula kejadian serangan ke atas akhbar biadab Charlie Hebdo di Perancis sedikit sebanyak menimbulkan salah faham antara agama dan kaum. Fahaman islamofobia meluak-luak di eropah di dalangi oleh puak "right-wing" di sana. Saya salut usaha pemuka-pemuka Islam di Eropah yang cuba sedaya upaya menjelaskan kepada warga di sana bahawa serangan tersebut bukan lah ajaran Islam dan tiada kena mengena dengan agama Islam. Namun ini bukan perbincangan yang saya ingin utarakan pada hari ini.

Berbalik ke Malaysia, tindakan pihak ini makin menjadi-jadi apabila tiada respons yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa. Walaupun kenyataan Ketua Polis Negara (IGP) yang cuba mengaitkan dengan kejadian di Paris dengan keperluan untuk meneruskan Akta Hasutan, namun kenyataan tersebut tidak bermakna dan hanya layak dijadikan lawak di rancangan Maharajalawak setiap malam sabtu tu (patut lah pelawak Malaysia susah cari makan). Kerana kenyataan tersebut sangat kontradik dengan apa yan ditunjukkan oleh pihak berkuasa. 

Sehingga hari ini masih belum ada arahan untuk menangkap Presiden Perkasa yang telah mengugut untuk membakar bible. Masih belum ada arahan untuk menangkap Ketua Wanita UMNO Baling, Datuk Dr. Mashitah. Tetapi apabila ada pihak yang mempersoalkan intergriti badan kerajaan Jakim, pantas pula tindakan pihak berkuasa.

Memandangkan usaha ahli politik dan parti politik dan pihak berkuasa agak lambat untuk mengekalkan keharmonian antara kaum di negara kita, kita tidak boleh lagi mengharapkan politikus yang tunggu isu naik baru nak bertindak. Saya ingin mencadangkan beberapa langkah untuk kita sebagai rakyat Malaysia juga boleh laksanakan.

Saya sudah mendengar beberapa seruan oleh beberapa individu bahawa betapa penting untuk mengadakan dialog. Dialog yang merangkupi pelbagai aspek seperti hal antara agama dan kaum misalnya. Dialog akan membentuk satu persefahaman yang lebih jitu di antara penganut agama yang pelbagai di Malaysia. Kita dapat lihat beberapa usaha yang dibuat oleh individu politik seperti saudara Khalid Samad dan Dr. Mujahid Yusof Rawa yang telah berdialog dengan beberapa gereja untuk menerangkan salah faham terhadap Islam dikalangan bukan Islam. Malahan gerakan sederhana yang diterajui Saifuddin Abdullah juga  memainkan peranan untuk membentuk persefahaman yang lebih baik dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang agama.

Bayangkan jika dialog antara agama boleh selalu di laksanakan, betapa banyak sengketa antara agama boleh dikendurkan. Disamping dianggap sebagai jalan peleraian, dialog dianggap sebagai pendidikan umum supaya masyarakat Malaysia mendapat ilmu dan pengetahuan yang lebih bukan sahaja mengenai agama lain, tetapi memantapkan lagi pemahaman terhadap agama sendiri. Saya sendiri mendapat banyak pengetahuan tambahan yang saya dapat secara tidak lansung melalui video-video debat (Almarhum) Sheikh Ahmad Deedat dengan Paderi Kristian dan juga debat Dr. Zakir Naik dengan Sami Hindu.

Selain perkara diatas, dialog antara agama ini menajdikan manusia itu lebih 'beragama'. Dialog menghasilkan suatu keyakinan bahawa manusia itu sememangnya memerlukan Tuhan dan perlu beragama. Secara tidak lansung dapat mendepani masalah atau ancaman anti-agama atau athiesme ternyata lebih merbahaya,

Selain itu pendekatan pluralisme juga boleh diambil untuk mewujudkan perdamaian. Mungkin ada dikalangan anda yang kecut perut apabila saya menyeru kearah pluralisme yang selama ini menjadi 'taboo' dalam masyarakat Islam. Ya, benar. Saya memang menyeru ke arah pluralisme.


MENGAPA PLURALISME?

Sebenarnya agak susah untuk saya sendiri menyebut atau menaip perkataan 'pluralisme'. Nampak begitu asing perkataan itu dengan hidup saya. Tetapi apabila beberapa pengamatan dan renungan yang telah saya buat terhadap konsep atau fahaman pluralisme ini, ternyata fahaman ini sebenarnya agak dekat dengan saya dan agama saya. Benar, fahaman ini jika dibiarkan akan menjadi suatu perkara yang lain (itu hal lain!) tetapi keperluan untuk masyarakat yang berbilang agama untuk memahami perkara ini lebih penting demi keharmonian antara agama.

Pluralisme jika dilihat dari segi bahasa ia bermaksud 'The condition of being multiple or plural'. Ataupun lebih mudahnya bermaksud lebih daripada satu. Tetapi dalam konteks perbincangan kita pada hari ini adalah pluralisme agama. Pluralisme agama bukanlah satu istilah yang hanya bermaksud ‘kepelbagaian agama’ atau disebut sebagai religious pluralism. Konsep ini tidak hanya sekadar meraikan wujudnya pelbagai agama dalam laluan sejarah pengalaman tamadun manusia. Pertikaian bukan hanya bersifat semantik.

Meneliti perkembangan fahaman ini, kita akan menemui hakikat bahawa pluralisme agama adalah sebuah ‘isme’, sebuah ‘‘ideologi’ dan sebuah falsafah yang mendalam dan mempunyai pelbagai doktrin, epistemologi dan ‘naratif’ tersendiri serta implikasi kefahaman ke atas ‘penganutnya’.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah ‘isme’ atau ideologi yang punya asas falsafahnya, pluralisme agama telah tampil dalam sejarah sebagai satu ‘agama baru’ dan mempunyai ‘prophet’ atau ‘ahli-ahli falsafah’ mereka seperti Ernst Troeltsch (1865-19230), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Carnwell Smith (1916-2000). Antara ‘ulama’ kontemporarinya ialah Prof John Harwood Hick yang baru meninggal (1922-2012).

Secara mudah dan tegasnya, mengikut fahaman mereka ‘semua agama adalah sama, sekali gus menafikan hak dan tuntutan setiap agama akan kebenaran hakiki agama mereka, sehingga meletakkan semua agama sifatnya nisbi (relatif), tidak sempurna, terbatas dan merupakan satu sisi pandang terhadap Kebenaran Agung.

(All religions are equal, simultaneously denouncing and undermining the claim to absolute truth of all religions on the world stage. It has 'relativised' all truth claims and has equated all religions to be essentially and relatively the same limited, partial and incomplete, one way of looking at something.)

Lantas pluralisme agama mengisytiharkan ‘persamaan agama’ dan ‘semua agama sebagai jalan-jalan kepada kemuncak yang sama.(All the paths lead to the summit – John Hick).
Perkara diatas ditentang oleh agama sama sekali kerana di dalam Quran jelas menyatakan;

Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.
(Ali Imran: 19)

dan ayat yang lain;

Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.
(Ali Imran: 19)

Namun harus disedari bahawa apa yang diperlukan oleh masyarakat pada hari ini bukanlah 'religous pluralisme' tetapi 'religous plurality'. 

'Religous plurality' adalah suatu konsep yang boleh kita kaitkan dengan suatu konsep dalam Islam iaitu konsep 'Tasammuh' (toleransi). Bermaksud Islam bersedia mengizinkan penganut agama lain tertakluk kepada hukum dan prinsip undang-undang agama mereka.

Sesungguhnya Islam mengiktiraf ‘religious plurality’ dan bukan ‘religious pluralism’ sebagai satu ‘sunnahtullah’ dalam kejadian seluruh mahkluk Allah SWT. Secara umum hakikat itu termaktub dan tersimpul dalam firman Allah SWT:

Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang rasul dengan perintah: Sembahlah Allah dan jauhilah taghut (yang selain dari Allah). Maka di kalangan mereka ada yang diberi hidayah dan ada yang berhak ditimpa kesesatan…” (Al-Nahl:36).

Sekali lagi pengiktirafan ‘pluraliti agama’ ini tersirat secara lebih tegas dalam firman Allah dalam Surah Al-Maidah: 48.

Ayat ini sangat jelas maksudnya dan tidak perlu ditafsirkan lagi.

Sekiranya Allah menghendaki nescaya Dia jadikan kamu satu (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu.”

Lebih jelas lagi adalah pengisytiharan yang Allah SWT abadikan dalam surah Al-Kaafirun (109:6).

Penegasan itu dinyatakan melalui ayat “lakum diinukum waliyadiin(untuk kamu agamamu dan untuk kami agama kami”.

MEREDAKAN KETEGANGAN.

Di dalam dunia hari ini, dalam keadaan politik yang tidak stabil, dalam keadaan dunia diancam oleh gerakan agama yang ekstrim didorong oleh pemahaman agama yang sempit, dalam keadaan perasaan curiga membuak-buak di antara agama, satu gerakan masyarakat perlu dijalankan. Kerana perkara asas seperti ini harus diselesaikan supaya kita boleh menyelesaikan masalah yang lain seperti soal kemiskinan, soal rasuah, soal pendidikan dan soal survival ekonomi.

Oleh yang demikian, perubahan untuk kearah masyarakat majmuk yang saling sayang-menyayangi perlu dimulakan oleh masyarakat itu sendiri. Nah, dengan jalan yang saya cadangkan ini, adalah penting untuk memantapkan lagi perpaduan kita suapaya tidak ada mana-mana lagi pihak yang cuba merenggangkan penyatuan ini. Sama ada dengan niat untuk membuat kekacauan, ataupun untuk kepentingan politik atau kerana semata-mata pemahaman sempit yang ekstrim.

 Semoga kita dijauhkan insyaAllah.


Sung Muhamad,
0200, 150115, Johor Bahru.







Sunday, January 4, 2015

Selasa yang istimewa

SPOILER: Buku yang dibedah di bawah ini adalah buku mainstream yang mungkin dah dibaca oleh kebanyakan orang (termasuk anda). Dan setiap orang ada pengajaran masing-masing yang mereka dapat kutip. It’s just my point of view. 

Kalau ada (tambahan) pengajaran, kongsikan lah di ruangan comment. Heh.

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Assalamualaikum WBT.



Pertamanya, sewajarnya untuk aku berterima kasih untuk individu yang menghadiahkan aku buku ini, Tuesdays with Morrie. Agak ironi untuk menghadiahkan sebuah buku sepertri ini kepada sempena ulangtahun. Memandangkan tema keseluruhan buku ini menceritakan perihal kematian. Ibarat kau bagi kek ulangtahun berbentuk kubur yang dilengkapi batu nisan.

Okay. Berbalik kepada topik.

Secara kesuluruhan, terdapat dua individu yang diceritakan dalam buku ini, seorang guru (Morrie Schwartz) dan juga anak muridnya (Mitch Albom).

Siapa Morrie?



Diceritakan bahawa Morrie ini adalah professor kepada Mitch ketika pengajian Mitch di sebuah universiti. Seorang pensyarah yang major di dalam bidang sociology, tapi turut berminat dalam mendalami bidang-bidang seperti philosophy, religion, dan psychology. Sepertimana pensyarah-pensyarah lain yang ada di universiti, yang mana pasti akan ada seorang pelajar yang senang untuk mendampingi pensyarah tersebut. Begitu juga lah dengan Morrie, senang untuk didampingi Morrie, bagi membincangkan pelbagai isu, khususnya perihal kehidupan dan hubungan sesame manusia.

Adalah amat menyedihkan apabila pada tahun 1994, Morrie telah disahkan menghidap penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS), atau nama lainnya adalah Lou Gehrig’s disease – yang diambil sempena nama seorang pemain baseball terkenal yang menghidap penyakit yang sama. Penyakit ini digambarkan seperti sebuah lilin yang dibakar, yang sedikit demi sedikit sumbunya dibakar yang akhirnya meninggalkan sisa lilin di kelilingnya. Itulah gambarannya kepada penyakit saraf yang sedikit demi sedikit spinal cord pesakit ‘dibakar’ ibarat sumbu lilin yang akhirnya meninggalkan saki-baki anggota badan yang tidak berfungsi pada derianya dan pergerakannya (malah akhirnya mereka tidak boleh bercakap lagi dah). Ibaratnya, pesakit masih hidup, tapi seluruh organnya tidak berfungsi. Hidup dalam tubuh yang mati.

Ingat baru-baru ini yang mana pernah menjadi viral sebuah cabaran yang dinamakan Ice Bucket Challege? Haaa. Itulah cabaran untuk meningkatkan kesedaran terhadap penyakit ini. Seperti itulah yang dikatakan apa yang dirasai oleh pesakit-pesakit. Seperti air sejuk yang disimbah pada badan secara tiba-tiba.

Penyakit yang menakutkan ini memakan tubuh Morrie sedikit demi sedikit sehingga mengehadkan pergerakan Morrie. Daripada seorang yang suka pada aktiviti menari, berenang, dan seorang yang mahu bergerak bebas ke mana ia mahu pergi, kemudian bergantung kepada wheelchair, dan akhirnya terlentak di tilam, dan bergantung kepada orang sekelilingnya untuk menggerakkanya, hatta untuk membuang air sekalipun.



Tempoh hidup setelah penyakit ALS ini berjaya dikesan, adalah berbeza dalam kalangan pesakit-pesakit. Ada yang progres penyakitnya laju memakan tubuhnya dan tempoh hidupnya pendek. Ada yang progresnya perlahan, walaupun tubuhnya sudah tidak berfungsi, namun diberi rezeki kehidupan yang lebih panjang, Stephen Hawking contohnya (boleh tonton filem biografinya, The Thory of Everything).

Bagi kita, mungkin kita akan merasa sedih dan berputus asa apabila mengetahui menghidap penyakit sebegini yang akhirnya kelak meninggalkan badan yang terkujur kaku di atas katil, menunggu mati. Namun, tidak buat Morrie. Beliau mengambil keputusan untuk mengenepikan keputusan untuk berputus asa, dan ligat untuk memikirkan apa yang hendak dilakukannya dengan sisa baki masa yang ada. Akhirnya, baki masa beliau benar-benar dimanfaatkan untuk memberi inspirasi kepada orang-orang yang rapat dengannya, orang-orang yang mengetahui kehidupannya, malah kepada pembaca-pembaca yang membaca buku ini. Sehinggakan, saat hidupnya, rumahnya tidak pernah sekalipun sunyi daripada kunjungan tetamu yang ingin mengambil inspirasi daripada beliau.



Siapa Mitch?
Seperti yang kita dah bincang sebelum ini, Mitch adalah pelajar kepada Morrie. Ataupun, lebih tepat untuk dikatakan sebagai pelajar kegemaran Morrie. Pelajar yang sering berjumpa dengan Morrie untuk memmbincangkan pelbagai isu bersama Morrie. Hatta, dalam menyiapkan thesis terakhirnya juga turut diminta petunjuk daripada Morrie.

Diceritakan bagaimana hubungan yang rapat dengan Morrie ini hanyalah setakat hari graduasinya sahaja. Walaupun di hari graduasi yang lalu, Mitch dah berjanji untuk tidak lost contact  dengan Morrie, namun janji tersebut hanya tinggal janji apabila selepas itu Mitch diuji dengan keadaan penyakit pakciknya dan juga  sibuk dalam usahanya untuk mencapai cita-citanya. Semata-mata untuk mencapai dan mengumpul segala jenis material yang ada di atas bumi ini. Lantas, segala perkaitannya dengan tempat pengajiannya yang lalu turut diabaikannya.

Bagi aku, sifat Mitch ini tidak banyak beza dengan sifat kita (jika bukan, most of us. Jika bukan, some of us. Jika bukan, well, at least there is). Di tadika atau sekolah dahulu pastinya ada seorang cikgu yang kita amat rapat dengannya sehingga kita rasa pada masa itu teramatlah mustahil untuk lost contact dengan hubungan yang serapat itu, ketika itu. Namun akhirnya, bila sudah tamat sekolah, kita jauhkan diri kita. Sudah lah lupakan cikgu yang pernah berkongsi ilmu dan pengalaman, kita lupakan juga tanah tempat kita menuntut ilmu dan belajar mengenal erti kehidupan. Tidak sekadar lupakan sahaja, kita bertekad lagi untuk tidak lagi menjejakkan lagi ke tanah ini.

Berbalik kepada Mitch, di dalam keadaan yang hanyut dalam kehidupan kerjaya yang menyibukkan dirinya, akhirnya satu malam ditakdirkan untuk mendengar kembali nama cikgunya itu dari kaca TV yang ketika itu disebut-sebut kerana inspirasi orang ramai daripada beliau yang menghidap penyakit ALS. Lantas nama itu mengembalikan segala memori bersama mereka yang pernah mereka kongsi bersama dahulu. Setelah itu, Mitch mengambil keputusan untuk melawat pensyarahnya itu. Walaupun pada awalnya agak awkward dan memalukan baginya untuk bertemu dengan pensyarahnya, setelah lama ditinggalkannya tanpa berita, akhirnya Mitch beranikan diri untuk bersemuka dengan pensyarahnya itu. Bagi Morrie, beliau amat gembira untuk bertemu kembali dengan Mitch. Akhirnya mereka bertekda untuk bertemu pada setiap hari Selasa.

Walaupun hanya diberi kesempatan selama 14 minggu sahaja bersama Morrie, namun segala memori itu amat berharga buat Mitch. Direkodkan segala perbincangan mereka berdua. Dan akhirnya, pada Sabtu pagi minggu ke-14 itu, Morrie melepaskan nafasnya terakhir. Dan pada hari Selasa, minggu ke-15, Morrie dikebumikan di tempat yang beliau telah tetapkan, yang dikelilingi suasana yang indah dan damai.

Kenapa dengan hari Selasa?
Ketika di universiti, kebanyakan kelas Mitch yang diajar oleh Morrie adalah pada hari Selasa. Malah, pada tahun-tahun yang tidak diajar oleh Morrie, pada hari Selasa, Mitch akan tetap hadir ke pejabat Morrie, atau makan tengahari bersama dengan beliau. Sehinggakan, mereka berdua menggelarkan diri mereka sebagai ‘Tuesday People’.

Selepas Mitch melawat Morrie setelah lama menghilangkan diri, mereka berdua berjanji untuk bertemu pada setiap hari Selasa. Sebab itu juga di bahagian awal buku, digambarkan pertemuan Selasa mereka berdua ini ibarat kelas pengajian, yang mengajarkan subjek Kehidupan yang dibincangkan daripada pengalaman hidup mereka berdua sendiri. Kelas terakhit yang diajar oleh Professor Morrie yang diambil oleh seorang pelajar sahaja, iaitu Mitch. Tiada buku teks yang diperlukan walaupun isu yang dibincangkan pelbagai. Tiada markah yang diberikan. Tiada peperiksaan yang dijalankan, cukup sekadar soal jawab ketika kelas dan beberapa bantuan yang perlu diberikan kepada Morrie ketika kelas berlansung. Pengebumian Morrie diaggap sebagai graduasi kepada kelas mereka berdua ini. Tiada peperiksaan akhir yang akan dijalankan. Cukup sekadar menghasilkan sebuah thesis, iaitu buku ini.

Apa pengajaran utama buku ini?
Walaupun pelbagai sudut perbincangan mengenai kehidupan yang dibincangkan dalam buku ini. Namun, bagi aku, buku ini berbeza dengan buku-buku lain yang turut membincagkan topic yang sama. Kenapa? Kerana, sudut pandang kehidupan yang dibincangkan oleh Morrie dalam buku ini adalah dari sudut pandang orang yang telah jelas kelihatan kematian di hadapan matanya. Contoh perumpamaan keadaan hidup Morrie yang digambarkan oleh beliau sendiri ialah umpama seseorang yang sudah berada di tengah-tengah jambantan antara dua daratan yang diberi nama Kehidupan dan Kematian.

Ya, adalah berbeza orang seperti Morrie memandang kehidupan berbanding orang seperti kita yang sihat wal afiat ini. Contoh mudah. Adalah berbeza sudut pandang kita ketikamana kita sedang sakit demam yang panas dan juga ketika kita sedang sihat dan segar. Berbeza doa kita, pengharapan kita, dan tawakal kita pada Tuhan ketika dalam keadaan sakit yang membuatkan kita tidak bermaya, berbanding ketika kita sihat.

Contohnya:

Dalam isu KEMATIAN, kita tahu bahawa semua yang hidup pasti akan mati. Tapi, sekadar tahu sahaja, itu tak cukup. Kerana amat penting untuk kita percaya, dengan melalui kesedaran dan menerima bahawa kematian akan kita hadapi. Contoh yang Morrie tunjukkan berkenaan keadaan Mitch yang terlalu ambitious dengan perkejaannya sehigga hanyut dengannya dan mengabaikan saat-saat dan minit-minit yang sepatutnya diluangkan bersama orang yang tersayang, seperti isterinya. Namun, tak bermakna apabila kita sedar dan terima akan kematian, kita harus jadi malas. Tapi, beliau nak sedarnkan mengenai priority yang seharusnya kita susun. Kerana bila kita rasa bahawa kematian itu benar-benar hampir, kita akan lebih utamakan keluarga, sahabat dan orang yang tersayang untuk mencipta kenangan yang terindah berbanding mengejar kemewahan dunia. Sebab itu lah, Morrie katakan, “once you learn how to die, you learn how to live”.      

Kedua, isu pandangan terhadap DUIT (baca: KEMEWAHAN). Morrie ceritakan bagaimana adat sekeliling kita mengajar kita semua seolah-olah duit adalah segalanya dan kemewahan lah yang membawa kepada kebahagiaan. Namun, tidak bagi Morrie selepas beliau disahkan menghidap penyakit ALS. Bagi Morrie, beliau sudah tidak lagi berminat untuk mengejar segala kemewahan dunia. Sebab itu lah beliau katakan,  “We put our values in the wrong things. And it leads to very disillusioned lives”. Bagi beliau, kehidupan itu, tiada yang dapat menggantikan rasa cinta, kerana yang sebenarnya, rasa cinta lah yang membawa kepada kebahagiaan. Bukanlah harta benda.  Sebagai contoh, Morrie memberi gambaran dalam keadaan rumah beliau selepas disahkan menghidap penyakit ALS. Beliau tidak lagi terkejar-kejar untuk membeli perabut baru, renovate rumah, untuk mendapatkan kemewahan. Tapi, beliau rasa bahagia kerana rumah itu dipenuhi dengan suasana cinta dek kunjungan tetamu yang tak henti-henti untuk melawat dan bertemu dia. Kerana itu lah Morrrie menyuruh Mitch untuk tidak berhenti dalam menyebarkan cinta kepada komuniti sekeliling, contohnya melalui aktiviti volunteer. Bak kata Morrie, “the most important thing in life is learn how to give out love, and to let it come in”.

Ketiga, pandangan terhadap CINTA. Morrie percaya bahawa apabila hidup ini sudah difokuskan untuk menyebarkan cinta kepada keluarga dan sahabat tersayang, pastinya hubungan yang dibina itu akan lebih erat. Akhirnya, kematian yang bakal diterima tidaklah akan menamatkan hubungan yang telah dibina tersebut. Bak kata beliau, “Death ends a life, not a relationship. All the love you created is still there. All the memories are still there”. Malah, kita lihat sekarang, cinta dan memori itu tetap berada dalam buku yang dibaca ini. Tambahan pula, pandangan beliau terhadap KEKELUARGAAN adalah berlainan. Bagi beliau, dalam keadaan beliau sakit yang melarat ini, keluarga itu adalah mereka yang tetap akan bersama walaupun beliau dalam keadaan sebegitu. Keluarga dalam erti kata sepatutnya tidak akan meninggalkan ahlinya yang sedang diuji kesusahan. Dan keadaannya itu telah membuktikan bahawa isteri dan anak-anaknya itu adalah keluarga yang beliau maksudkan.  Beliau katakan, “What a family is about, not just love. It's knowing that your family will be there watching out for you. Nothing else will give you that. Not money. Not fame. Not work”.

Dan, baaaaanyaaaak lagi pengajaran yang boleh kita dapati. Baca lah buku ini!

Yang bijak itu adalah mereka yang mengingati mati.
Berbalik kepada semua yang telah diajarkan oleh Morrie, baru lah kita sedar akan pentingnya untuk kita lihat kehidupan yang sementara ini dari sudut kematian itu kita rasa seperti kita akan hadapinya pada esok hari. Maka, benarlah bahawa orang yang bijak itu adalah mereka yang selalu ingat akan kematian. Kerana sudut pandang mereka terhadap kehidupan juga pasti akan berbeza. Bijak dalam mengurus kehidupan mereka, bagi menghadapi kematian.    

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati…” (al-Imran : 185)  


Maka, selain yang ini, apa lagi pengajaran yang anda dapat?

Friday, January 2, 2015

Ada apa dengan filem Inception?

SPOILER: Post ini tersangatlah panjang, dan memerlukan anda untuk meluangkan masa untuk menonton filem tersebut untuk lebih memahami filem ini. Iya lah. Kata pun entry berasaskan konsep bedah filem kan?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Assalamualaikum WBT.

Mohon maaf andaikata ada salah dan silap dalam entry kali ini. Pertama kali nak mencebur diri dalam bidang penulisan, apatah lagi penulisan kat Blogspot selepas dah berpuluh ribu tweets di micro-blog Twitter.

Kembali kepada topik, selepas menonton filem Predestionation (yang mana kebanyakan orang kata filem ini dikategorikan sebagai filem ‘mindlown’), terdetik di hati nak ‘murajaah’ kembali filem Inception buat kali kedua, di mana sebenarnya memang tak ingat dah filem ni bagaimana sebab masa first time tengok dulu pun memang tak faham apa-apa.




Maka, inilah apa yang aku buat di detik tahun baru 2015. 2 jam 30 minit menonton filem, 1 jam blogwalking untuk menjawab persoalan-persoalan yang ada, 45 minit menonton kupasan beberapa perdebatan dan hujah berkenaan filem, dan bakal menghabis beberapa hari untuk membaca buku ‘Inception and Philosophy: Because It's Never Just a Dream’ yang bakal dibeli. Konklusinya, filem ini aku bagi 5 bintang kerana ‘mindblown’ dia sebab aku sendiri tidak boleh move on lagi sekarang.
  


  
Apa itu Inception?
Berbalik kepada istilah ‘Inception’ yang berasal dari perkataan Latin yang bermaksud ‘the establishment or starting point of an institution or activity’. Di dalam filem ini, mengisahkan bagaimana Cobb (watak utama) dan kumpulannya pada permulaannya hanya menjalankan misi mencuri idea (atau rahsia) seseorang dengan memasuki minda seseorang yang di bawah separa sedar (Baca: Tidur). Namun, berpindah kepada misi yang lebih advance iaitu dengan menanam idea di dalam minda seseorang yang akhirnya akan membentuk individu tersebut. Inilah yang dikatakan sebagai inception.

Kenapa perlu melalui mimpi?
Secara teori dari filem, Cobb percaya bahawa bilamana seseorang itu sedar, ia hanya menggunakan sebahagian daripada mindanya. Manakala, bermimpi membolehkan ia menggunakan minda sepenuhnya untuk melakukan apa sahaja.

Di samping itu, Cobb percaya, ketika manusia bermimpi, minda manusia akan melakukan dua proses secara serentak tanpa sedar, iaitu proses membentuk (create) dan proses mengenal (perceive). Sebab itu lah apabila kita sedang bermimpi, kita tidak sedar yang kita sedang membentuk sendiri mimpi kita dan kita kenal serta rasa apa yang kita mimpi. Tapi, kita tak sedar yang kita sebenarnya sedang bermimpi. Sebabnya, ianya seperti kelihatan real.

Malah, bagaimana hamper mimpi itu kepada realiti ialah bilamana mimpi tersebut mampu mempengaruhi emosi dan fizikal kita. Apabila mimpikan orang tersayang kita meninggal dunia, kita akan merasa sedih hingga menangis. Apabila kita bermimpi jatuh dari bangunan, kita rasa ketakutan itu, malah juga rasakan hentakan apabila jatuh. Apabila mimpikan hantu, kita merasa takut sehingga menjerit-jerit.   

Maka, tugas Cobb dan kumpulannya hanyalah untuk mengawal proses pembentukan mimpi tersebut, manakala si mangsa akan dimasukkan di dalam mimpi tersebut bagi menjayakan misi yang sedang dijalankan.

Namun, sesetengah orang dilatih untuk sedar bahawa dia sedang bermimpi, seperti Cobb dan ahli kumpulannya. Malah, ada juga yang dilatih untuk mempunyai kemahiran untuk berada dalam keadaan berhati-hati ketika dalam mimpi, seperti kemahiran yang dipunyai oleh mangsa dalam file mini yang menjadikan misi Cobb lebih sulit.

Ahli Kumpulan
Untuk menjayakan misi ini, Cobb mempunyai ahli kumpulannya tersendiri yang mempunyai peranan masing-masing:
  • The Extractor: Di dalam filem ini, Cobb memainkan peranan tersebut sebagai ketua kumpulan yang paling pakar dalam hal memanipulasi minda mangsa ketika di dalam separa sedar untuk mendapatkan sesuatu rahsia atau menanam idea.
  • The Point Man: Di dalam filem ini, Arthur bertanggungjawab menjalankan tugas ini dengan memastikan segala research sudahpun dilakukan secara mendalam mengenai misi yang akan dijalankan serta memastikan ahli kumpulan yang lain memahami role yang hendak dilakukan di dalam mimpi sebelum mereka semua memasuki alam mimpi. Di dalam alam mimpi, tugasan dia adalah untuk membaiki sebarang kelemahan yang berlaku (biasanya masalah-masalah yang adhoc berlaku) untuk memastikan kumpulan mereka berjaya menjalankan misi.
  • The Architect: Individu yang menjalankan proses membina dan membentuk suasana dan keadaan sekeliling mimpi yang akan digunakannya untuk dibawa mangsa ke dalamnya. Contohnya, seperti pembinaan bangunan-bangunan, kereta, dll. Namun, amat tidak digalakkan untuk mereka sekeliling yang familiar dengan kehidupan harian si Architect, bagi mengelakkan daripada kekeliruan dalam mengesan antara mimpi dan reality. Di dalam mimpi juga, ia boleh menggunakan kemahiran ilmu arkitek dan fizik bagi membentuk paradoxes untuk menjadikan mimpi tersebut seolah-olah seperti maze, contohnya seperti tangga tanpa penghujung. Di dalam filem ini, Adrine, seorang pelajar bahagian Arkitek dipilih untuk menjalankan tugas ini.
  • The Forger: Menjalankan tugas untuk menyamar di dalam dunia mimpi. Pakar dalam menyamar dari segi suara, rupa paras dan bentuk tulisan. Eames menjalankan tugas ini.
  • The Tourist: Bertugas dalam memberi dana untuk memastikan misi berjaya. Saito, si kaya yang memberi misi ini, juga turut terlibat segabai pemberi dana.
  • The Alchemist: Yusuf, pakar kimia yang bertugas untuk mencipta sedative supaya ahli-ahli kumpulan dapat kekal tidur sepanjang misi inception di dalam tidur dijalankan. Namun, lebih mencabar apabila misi yang dijalankan memerlukan sedative yang lebih kuat dan stabil kerana misi ini memerlukan mereka untuk memasuki ‘mimpi dalam mimpi’ sehingga tahap ketiga.
  • The Mark: Dengan kata lainnya adalah mangsa. Di mana, di dalam filem ini mangsanya adalah Robert Fischer. Seorang watak yang bakal mewarisi legasi perniagaan bapanya. Dijadikan target untuk mengubah ideanya demi kemaslahatan perniagaan Saito.
  • The Dreamer: Mana-mana ahli kumpulan boleh menjalankan tugas ini. Individu tersebut akan dijadikan ‘rumah’ untuk berkongsi mimpi dengan yang lain. Untuk mengetahui siapa yang menjalankan tugas ini, biasanya ia akan berada dalam mimpi tersebut tanpa mengikut ahli yang lain untuk masuk ke dalam ‘mimpi dalam mimpi’.

                                








Anologinya mudah. Seperti dalam proses untuk menghasilkan sesebuah filem, Cobb menjalankan tugas sebagai Director yang menyusun sesebuah filem. Adriane pula akan bertugas sebagai seorang Screenwriter yang mereka bentuk sesebuah filem. Eames sebagai seorang pelakon. Saito sebagai syarikat produksi yang memberi dana untuk menghasilkan sesebuah filem. Yusuf seperti seorang pakar dalam menghasilkan special effects dalam sesebuah filem. Dan kita semua sebagai penonton adalah mangsa tersebut.              

Tahap-tahap mimpi
Amat menarik dari filem ini apabila misi yang dijalankan tersebut memerlukan mereka untuk memasuki mimpi sehingga tahap ke-3. Kenapa? Kerana strategi penanaman idea tersebut memerlukan mereka menyusun jalan cerita yang tersusun, agar ianya kemas dan berkesan

Apa kesan apabila mimpi semakin dalam (Baca: Semakin tinggi tahap)? Apabila mimpi tersebut semakin dalam, peredaran masa dalam mimpi tersebut menjadi semakin panjang. Contohnya, 5 minit di dunia sebenar, membawa kepada tempoh 1 jam di dalam mimpi tahap pertama. Banyangkan jumlahnya yang berganda apabila tiba di tahap ke-3.

Namun, disebabkan sedative yang diberikan terlalu kuat, membunuh ahli kumpulan di dalam mimpi tidak akan membenarkan mereka sedar dari tidur. Namun, akan memindahkan mereka ke dunia limbo. Namun, semakin tinggi tahap mereka pergi, semakin lama mereka akan berpindah ke dunia limbo jika mereka mati dalam mimpi tersebut.




Apa itu limbo?
Limbo dikatakan sebagai unconstructive dream yang mana mimpi tersebut tidak direka oleh The Architect. Malah, tiada lansung yang menjadi perumah kepada mimpi di tahap ini. Dikatakan bahawa mana-mana individu yang terperangkap di dalamnya teramat sukar untuk sedar bahawa mereka sebenarnya sedang bermimpi walau sehebat mana mereka sudah dilatih sebelumnya.

Bagaimana pula bentuknya jika ianya tidak direka? Dikatakan bahawa di tahap ini, reka  bentuk mimpi tersebut bercampur-baur antara persepsi penghuni-penghuni mimpi tersebut.

Yang pernah menduduki mimpi ini ialah Cobb dan isterinya, Mal, serta Saito. Disebabkan sedative yang sangat kuat dan tahapan mimpi yang sangat tinggi, mereka semua terperangkap di dalam tahap mimpi ini berpuluh-puluh tahun lamanya walau padahal di dunia sebenar, ianya hanya 2-3 jam sahaja.

Siapa Mal?
Mal adalah isteri kepada Cobb yang pada awal dahulu menjadi teman kepada Cobb di dalam limbo. Mal menjadi mangsa pertama inception (Baca: Penanaman idea) oleh Cobb. Hal ini kerana ketika di dalam limbo, Cobb merasa kelainan dengan kehidupan yang dilalui mereka dan mencuba untuk keluar dari mimpi tersebut dengan membunuh diri. Namun, disebabkan keengganan Mal, Cobb telah menanam idea bahawa kehidupan isterinya itu tidak benar dan membunuh diri adalah caranya untuk keluar dari mimpi tersebut. Akhirnya, isterinya bersetuju untuk membunuh diri dan mereka berdua keluar dari mimpi tersebut.

Ianya menjadi semakin sulit bilamana kesannya kepada kehidupan realiti ialah, Mal rasakan kehidupannya tidak real pada dirinya selepas mereka sedar. Mal masih rasakan yang dia sedang bermimpi, dan dengan membunuh diri akan membawanya ke dunia sebenar yang diinginkannya. Hal ini membawa kepada perancangan Mal untuk membunuh diri di hotel ketika ulangtahun perkahwinan mereka berdua yang akhirnya membuatkan Mal terjun dari bangunan hotel tersebut. 

Perdebatan yang berbangkit
Kehebatan pengarah filem yang genius, Christopher Nolan ini terselah apabila perdebatan muncul dalam keadaan yang pelbagai dalam menginterpretasikan filem ini.

Pertamanya, adakah diakhir cerita ini, Cobb sudah berada di dunia sebenar ataupun masih di dalam dunia mimpi ataupun masih tidak keluar daripada dunia limbo.

Malah, ada yang mengatakan bahawa sebenarnya keseluruhan cerita ini sebenarnya adalah masih di dunia limbo di pasca peristiwa pembunuhan diri Cobb dan Mal. Hal ini berdasarkan hujah Cobb bahawa bilamana seseorang itu bermimpi kita tidak akan tahu permulaan mimpi kita, namun ia akan terus sedia terima mimpi yang sedang dilalui. Begitu juga lah dengan filem ini, seolah tiada permulaan dan sejarah permulaan buat karakter-karater utama yang ada selain Cobb dan Mal, sedangkan filem-filem yang lain pasti akan diceritakan sejarah hidup bagi karakter-karakter utama filem tersebut. Tambahan pula, apabila initial bagi nama-nama karakter ini disusun: Dom Cobb, Robert Fischer, Eames, Arthur, Saito; akan menghasilkan perkataan D.R.E.A.M.S yang bermaksud mimpi. (Macam gaya konspirasi pn ada kan?)

Pelbagai lagi hujah-hujah yang berlegar di alam maya untuk membuktikan premis masing-masing:






Inception di dunia realiti?
Tahukah kita sebenarnya kehidupan sekeliling kita sebenarnya kita sedang diserang dengan proses inception di pelbagai sudut? Dan tahukah kita sebenarnya amat kerap bagi kita dan orang-orang di sekeliling kita yang sebenarnya sedang berada dalam keadaan separa sedar, yang akhirnya memudahkan orang lain untuk ‘menanam’ sesebuah idea dalam diri kita, lantas mengubah personaliti kita dari yang sepatutnya.

Oh. Dengan kata mudahnya, istilah tarbiyahnya disebut Ghazwul Fikr (Baca: Serangan Pemikiran). Pelbagai serangan bagi menanam pelbagai ideologi dalam diri kita dalam keadaan kita tidak sedar. Pelbagai cara dan metod yang digunakan, seperti filem, sukan, iklan, dll. Yang akhirnya, mencairkan identiti Islam yang sebenar dalam diri kita, mengubah personaliti kita.

P/S: Nah. Sedikit hujah-hujah (yang lain, pandai-pandailah korang nak huraikan) tarbiyah untuk naqib-naqibah usrah supaya nanti korang boleh jadikan modal untuk korang bawak ahli usrah yang lain tengok filem ini. Barulah ceria usrah korang nanti. Heh.  

Falsafah dalam filem Inception
Seperti video dari link yang diberi di atas, pembentangan tersebut diberikan oleh penulis buku ‘Inception and Philosophy: Because It's Never Just a Dream’ yang mana aku sendiri masih mencari buku tersebut untuk dibaca (dan jika ada kesempatan, aku akan bedah buku tersebut).
Namun, di akhir video tersebut, sedikit persoalan falsafah yang dihuraikan yang berkaitan dengan filem tersebut:

Yang pertama, adakah benar masa akan menjadi lebih lambat ketika kita berada di dalam dunia mimpi? Iya lah. Kalau kita sedar, kadang-kadang kita bermimpi tempohnya berhari-hari lamanya padahal tempoh masa kita tidur hanyalah 6 jam.

Kedua, andaikata dunia limbo  itu wujud, adakah benar kita mahu hidup di dalamnya bertahun-tahun lamanya di dalam dunia yang hanya kita yang kawalnya?

Yang terakhir buat masa ini dan bagi aku tersangat terkesan ialah persoalan di mana andaikata perdebatan-perdebatan yang wujud selepas menonton filem ini yang mana kita gagal untuk mengenalpasti adakah Cobb masih bermimpi atau tidak di akhir filem tersebut, maka adakah kita yakin yang sebenarnya hidup yang kita lalui ini sebenarnya realiti? Ataupun sebenarnya kita sedang bermimpi?

Di dalam Islam, kita percaya bahawa kehidupan kita ibarat bayangan fatamorgana. Maka, kita diingatkan supaya tidak lalai dan ketagih dengan kenikamatan dunia yang sementara. Malah, kita juga mengerti bahawa kehidupan ini singkat ibarat pengembara yang sedang rehat sebelum meneruskan pengembaraanya. Oleh sebab itu, kita sering diingatkan supaya terus fokus kepada tujuan asal kita supaya kelak mudah untuk kita tiba ke destinasi yang ingin dituju. Bukannya kita sibuk lalai dengan apa yang ada di tempat persinggahan sehingga rasa malas dan takut untuk tinggalkannya bagi menyambung pengembaraan.

Oleh itu, secara tidak lansung juga, kita mengerti bahawa hidup ini sebenarnya adalah mimpi, di mana di akhirnya kelak kita akan ‘dikejutkan’ dari mimpi ini dengan panggilan maut. Yang akhirnya kita akan menuju ke dunia realiti yang kekal abadi, iaitu di akhirat kelak.      


Kembali kepada soalan yang sebelum ini.
Korang yakin ka yang sekarang korang sedang berada di dunia realiti? Atau sebenarnya korang sedang bermimpi?



Selamat tahun baru, dan selamat bermimpi!