Come on form five, you can do it, more than, more than, you can do it, weella weella wella wella wello, we are the best, the very very best, come on let's do it, tingkatan lima, 2010, woo... ALLAHUAKBAR!! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Yusho wa dare? Oretachi! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Oretachi wa? Form Five! Takbir! ALLAHUAKBAR!

Tuesday, February 10, 2015

Tertawan di Medan Kongres



Keris Mas merupakan salah seorang Sasterawan Negara daripada 12 orang kesemuanya. Keris Mas ialah penerima pertama untuk anugerah tersebut. Nama sebenar beliau ialah Kamaludian Muhammad. Dilahirkan pada 10 Jun 1922, dalam sebuah keluarga di Kampung Ketari, Bentong Pahang dan mendapat pelajaran dalam bidang keagaam di Sumatera. Beliau pernah terlibat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Utusan Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau bergelumang dalam bidang kesusasteraan selama 40 tahun lamanya. Karya beliau kebanyakannya dalam bentuk cerpen dan novel. Keris Mas pernah menyatakan “Penulis (muda) menyedari hakikat  bahawa hasil kesusateraan itu ialah buah dari hubungan yang langsung antara pengarang dan masyarakat; bahawa pengarang dan masyarakat pada hukumnya beri memberi”. Di sini saya membawakan salah satu daripada cerpen-cerpen Keris Mas yang bertajuk ‘Tertawan di Medan Kongres’. Semoga kita beroleh manfaat dan sedikit semangat yang ingin beliau sampaikan.

Dua sejoli di dalam kereta api kelas tiga yang bertolak dari Kuala Lumpur ke Singapura pukul 6.30 tanggal 26 bulan Disember kelihatan sedang asyik memandang temasya lampu-lampu gemerlapan yang bertaburan jauh sampai ke lembah-lembah lombong yang banyak di kiri kanan jalan.

Kereta api melancar dengan derasnya melalui daerah bijih yang masyhur sekali di negeri Selangor. Senja sedang bermaharajalela menyelubungi alam yang permai dan udara di dalam kereta api tidak begitu sihat yang menyebabkan penumpang-penumpang gelisah dan membuang pandangan jauh ke luar.

“Alangkah indahnya lombong-lombong itu kanda – penuh dengan lampu-lampu yang permai.”

“ Ya, negeri kita memang indah dan permai dinda.”

“Tetapi sayangnya keindahan dan kepermaian itu hanya untuk orang lain sahaja,” kata seorang penumpang yang duduk pada bangku yang di hadapan mereka. “Kita juga telah beruntung dapat melihat keindahan itu dengan adanya orang-orang lain itu memajukan negeri kita,” kata pemuda itu memotong dengan tidak mengalih pandangannya.

Tetapi bagaimana pula perasaan kita jika melihat kesengsaraan bangsa kita sendiri yang menjadi kuli-kuli di bawah keindahan dan keuntungan orang lain itu ….”

Kereta api melancar terus menembus udara malam yang sejuk. Perbualan dan percakapan di dalamnya terus juga sambung bersambung dari satu segi ke segi yang lain.

Fajar menyinsing dan pagi telah menjelma. Tambak Johor telah dilalui dan tidak berapa lama lagi sampailah ke hujung perjalanan. Perhentian Singapura telah menanti.

“Tuan bertujuan ke mana,” kata pemuda kawan gadis dua sejoli itu.

“Saya hendak ke kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya.”

“Oh, saya ada dengar perkara kongres itu. Jadi tuan ini menjadi wakil?”

“Ya, wakil dari utara.”
“Saya telah banyak menerima fikiran yang baik-baik dari tuan dalam perbualan kita malam tadi dan saya sangat tertarik kepada fikiran-fikiran itu yang semuanya masih baharu kepada saya. Bolehkah saya berkenalan?”

“Kenapa tidak – saya Abdullah dari utara Perak.”

“ Terima kasih – dan saya Affandi penuntut di Raffles College - saudari ini Nor Habibah dari raffles College juga.”

“Kalau begitu saya beruntung sekali boleh berkenal-kenalan dengan pemuda pemudi terpelajar bakal pemimpin-pemimpin kita masa akan datang …”

Beberapa hari telah berlalu – Affandi dan Habibah sedang bertekun kembali dalam pelajaran sementara kongres pun telah selesai dengan meninggalkan kesan-kesan baharu kepada jiwa bangsa Melayu dari segala peringkat.

Affandi dan Habibah menerima juga kesan-kesan itu yang dengan diam-diam telah mempengaruhi kehidupan mereka, kehidupan yang bahagia yang penuh riang gembira dalam perpaduan cinta kasih yang telah lama tersimpul antara dua jiwa muda remaja itu.

Kesan itu pada dua tiga hari yang akhir ini kelihatan semakin nyata. Jika dahulu Affandi popular kerana ramah-tamah serta riang gembiranya sekarang ia kelihatan suka duduk termenung dan berfikir. Jika dahulu orang melihat Affandi dan Habibah tidak pernah bercerai umpama tubuh dengan bayangan maka sekarang orang bertanya-tanya di dalam hati kenapa dua sejoli itu tidak ramah dan mesra lagi.

Habibah sendiri di dalam hatinya telas berasa bahawa bahtera cinta di dalam jiwa Affandi tempat ia menumpnagkan kasih sayangnya selama ini, sekarang sedang dilamun ombak gelombang.

Alangkah dahsyatnya taufan ini. Taufan yang bergulung dalam sanubari gadis muda remaja. Ngeri, sesungguhnya ia berasa ngeri kalau bahtera kasih sayang yang telah lama dilayarkannya bersama Affandi itu akan hancur lebur dilanggar gelombang. Gadis remaja zaman sekarang yang mendapat pelajaran tinggi dan meminum didikan Barat seratus peratus semenjak dari kecilnya hanya mempunyai angan-angan akan lekas sampai ke pantai bahagia, hidup rukun dan damai, aman dan makmur penuh kelazatan dan kemewahan.

Bertahun-tahun sudah lamnya berdayung riang gembira di atas permukaan lautan cinta bersama-sama Affandi menuju pulau bahagia yang indah permai. Ia sudah mempunyai keyakinan penuh cita-citanya akan tetap tercapai dengan Affandi yang menjadi bintang di atas cakerawal angan-angannya itu. Affandi nanti akan mencapai kedudukan tinggi dalam masyarakat, akan berpangkat dan bergaji besar.

Itulah gambaran jiwa Habibah selama ini dan itulah gambaran pulau yang dicita-citakannya.

Akan tetapi alam rupanya tidak selalu tinggal diam dan tetap. Ia selagi bernama alam akan terus-menerus menerima perubahan-perubahan dari satu masa ke satu masa. Orang yang tidak suka mengikut perubahan ini akan dilanggar olehnya hancur dan lebur.

Affandi sendiri belum pernah mengetahui dengan jelas akan corak-corak masyarakat bangsanya yang telah banyak berubah dalam satu dua tahun yang akhir ini. Tetapi sekarang ia sudah mula insaf akan adanya perubahan itu.

Setelah menerima banyak fikiran dari seorang yang baharu dikenalnya dalam kereta api beberapa hari yang lalu ia diam-diam telah pergi menghadiri rapat umum pembukaan kongres itu.

Kembali dari sana ia mulai termenung. Ia sudah dapat mengetahui bahawa bangsanya sekarang telah merancangkan banyak pekerjaan yang besar untuk kepentingan bangsa dan tanah air. Tetapi bukanlah ia terpengaruh semata-mata oleh jalan perjuangan yang sama sekali telah terlalu hebat dan tinggi yang dalam pandangan bangsa lain tidak boleh diberi muka itu. Apa yang betul-betul telah menarik perhatiannya ialah pidato seorang gadis sebagai wakil pemuda dalam kongres tersebut yang betul-betul dirasanya tertuju kepada dirinya sendiri.

“Saudara-saudara kita pemuda di kampung dan di desa-desa sekarang telah siap sedia dengan semangat dan keyakinan yang teguh berkobar-kobar menunggu datangnya saat panggilan ibu pertiwi untuk berkorban kerana kepentingan kita semua – tetapi kita di sini pemuda-pemuda di kota besar, pemuda terpelajar dan berpandangan luas masih lagi tinggal diam, tenggelam dalam angan-angan yang besar-besar dan jauh untuk kepentingan diri sendiri.” Demikianlah di antara lain-lain wakil pemuda itu memberi ucapan, satu ucapan yang terhambur dari bibir seorang gadis.

Affandi di dalam permenungannya terkenang pada ucapan yang bernas itu dan ia merasa sedikit demi sedikit jiwa dan semangatnya telah tertawan, tertawan di medan kongres oleh ucapan seorang gadis desa yang gagah dan jelita.

Alangkah besar minatnya kalau pemuda-pemuda terpelajar bangsanya boleh bersama-sama dia menyahut seruan pemuda di medan kongres itu. Dan alangkah bertambah kasih sayang berpada jikalau Habibah juga dapat memahami cita-citanya itu.

Tetapi tidak selalu apa yang diinginkan manusia itu dapat tercapai dan sebaliknya tiap-tiap cita-cita menghendaki pengorbanan.

Habibah tidak dapat lagi menurutkan aliran kesedaran jiwa Affandi yang semakin hari semakin besar. Ia tetap pada angan-angan bermula akan menuju kelazatan dan kemewahan hidup semta-mata.

Ia tidak hendak menurut aliran masa, tidak mahu mengalah pada perubahan alam. Sebab itu ia hancur dan lebur, hati dan jiwanya telah patah untuk menghadapi masa yang akan datang kerana cintanya putus di tengah jalan.

Sementara Affandi jalan terus dengan cita-citanya, menghadapi zaman perjuangan dan kebangunan bangsa Melayu dengan pengorbanan oertama merenggutkan akar cinta dari sukmanya.
                                                                                                         
                                                                                                                                                                 Utusan Zaman, 11 Januari 1948